GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Bhd menyasarkan prestasi positif bagi tempoh berbaki tahun ini berikutan pelaksanaan program transformasi sejak 18 bulan lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Idham Nawawi berkata, syarikat telekomunikasi itu berpendirian lebih berhati-hati terhadap baki suku 2021 selain terus mengharungi impak akibat pelanjutan kawalan pergerakan dan pandemik Covid-19.

Menurutnya, ini berikutan syarikat itu melihat beberapa cabaran kecil yang berkemungkinan berlaku pada separuh kedua 2021.

"Kami sememangnya berharap untuk terus mengekalkan prestasi positif dalam persekitaran yang mungkin lebih mencabar pada separuh kedua. Ini termasuk memperkukuh aktiviti sedia ada dan terus dapat memberi impak terhadap semua segmen, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat media secara maya mengenai keputusan kewangan Celcom untuk suku kedua 2021 di sini, pada Selasa.

Mengulas selanjutnya, Idham berkata transformasi serta fokus terhadap kecemerlangan operasi Celcom berserta aspek pengurusan kos yang ketat, berjaya menyaksikan peningkatan keuntungan, momentum pertumbuhan lebih ketara selain keputusan positif bagi separuh pertama ketika berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Bagi suku kedua, Celcom mencatatkan momentum pemulihan ketara dengan pertumbuhan hasil (tidak termasuk peranti) sebanyak 3.4 peratus bagi suku ke suku kepada RM1.48 bilion, didorong oleh peningkatan asas atau jumlah langganannya. Malah, bagi tempoh separuh pertama 2021, perolehan hasil syarikat telekomunikasi itu meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada RM2.91 bilion.

Celcom turut mencatatkan pertambahan bersih sebanyak 1.2 juta pelanggan tahun ke tahun dan hasil prabayar mencatat pertumbuhan dua angka.

Syarikat itu telah bertindak agresif bagi menangani pertumbuhan ketara aliran data dengan melonjakkan perbelanjaan modal bagi pelaburan rangkaian menerusi pelbagai inisiatif untuk meningkatkan rangkaian tersebut yang seiringan dengan usaha Jalinan Digital Negara (JENDELA).

"Setakat ini, Celcom dapat menyiapkan hampir 95 peratus usaha peningkatan rangkaian di kira-kira 9,500 tapak, pengoptimuman rangkaian di lebih 3,600 tapak serta pelaksanaan penambahbaikan liputan 4G di 3,200 tapak di seluruh negara.

"Pertumbuhan pesat trafik data daripada pengguna kami menunjukkan rangkaian Celcom digunakan secara meluas sebagai akses utama internet, terutama di kawasan tanpa alternatif jalur lebar tetap ketika tempoh pandemik ini," katanya.

Menurut Idham, pelaburan rangkaian Celcom yang dipercepat selain usaha pengoptimuman pengalaman pelanggan dalam persekitaran norma baharu juga berada di landasan sewajarnya dengan perkhidmatan 3G ditamatkan menjelang akhir tahun ini.

"Kami akan terus berusaha untuk mempertingkat kualiti liputan rangkaian 4G dan pengalaman berkaitan selain memastikan pelanggan menikmati peralihan 3G kepada 4G dengan lebih lancar.

"Pasukan rangkaian kami juga akan terus berdedikasi untuk memberikan penyelesaian perkhidmatan dan penambahbaikan di kawasan berisiko tinggi serta di luar bandar," kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 4:08 PM