Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH), melancarkan Rangka Kerja Pengawasan (RKP) sebagai asas kawalan tadbir urusnya dalam usaha memastikan mandat pengurusan haji bertaraf dunia lebih berkesan dan lestari.

RKP ini berlandaskan konsep Maqasid Shariah merangkumi lima prinsip utama iaitu perlindungan agama, nyawa, akal, harta benda dan generasi akan datang.

Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Yusof berkata, sebagai institusi Islam yang menguruskan simpanan deposit umat Islam Malaysia, TH bertanggungjawab untuk sentiasa menambah baik cara menunaikan amanah ini.

"Pengenalan RKP ini adalah sebagai panduan utama bukan sahaja kepada pemimpin dan warga hari ini, malah pemimpin dan warga kerja TH yang akan datang.

"Dengan pengalaman lebih 58 tahun dalam operasi patuh syariah, kami harus memastikan aspek kelestarian untuk jangka masa panjang.

"Oleh itu, TH komited menerapkan prinsip Maqasid Syariah dalam semua aktiviti harian yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, TH juga memastikan Anggota Lembaga, Panel Pelaburan, Pengurusan Kanan dan warga kerja sentiasa mendokong empat prinsip utama iaitu nilai dan prinsip Islam, kepimpinan beretika, kawalan dalaman dan pengurusan risiko yang berkesan dan akauntabiliti kepada pihak berkepentingan.

TH mula ditubuhkan pada 1963 bertujuan membantu mereka yang ingin menunaikan haji.

Kini, kira-kira separuh daripada umat Islam di Malaysia atau 8.3 juta orang sudah mendaftar sebagai pendeposit di TH.

Sepanjang 58 tahun penubuhannya, TH sudah menguruskan ibadah haji kepada 1.5 juta orang seluruh negara.

Pembangunan TH selama hampir enam dekad ini juga telah mendorong institusi haji ini untuk mengukuhkan struktur tadbir urusnya dengan lebih baik menerusi RKP.

Objektif utama RKP TH merangkumi prinsip Maqasid Shariah iaitu menjalankan kerja-kerja operasi dengan mematuhi prinsip Syariah dan menegakkan tadbir urus korporat yang kukuh dan berintegriti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 12:55 PM