ADRIAN bersama anugerah yang dimenangi MR DIY.
ADRIAN bersama anugerah yang dimenangi MR DIY.

MR DIY Group (M) Berhad (MR DIY) dipilih sebagai satu daripada empat penerima anugerah Malaysia's Best Managed Companies Awards yang diadakan buat kali pertama.

Anugerah berkenaan dianjurkan Deloitte Private mengiktiraf syarikat swasta tempatan yang terbaik dengan hasil tahunan melebihi AS$25 juta untuk kecemerlangan organisasi serta sumbangan mereka dalam industri masing-masing dan kepada ekonomi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MR DIY Group, Adrian Ong berkata, pihaknya terharu dengan pengiktirafan diberikan.

"MR DIY adalah jenama yang berasal dari Malaysia dan berusia 16 tahun.

"Untuk menerima pengiktirafan ini bersama syarikat dihormati dan jenama terkenal adalah penghormatan amat besar buat kami," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pengiktirafan itu tidak mungkin dapat dicapai tanpa dua kumpulan yang amat penting buat jenama MR DIY.

"Terima kasih kepada tenaga kerja MR DIY yang berdiri teguh dengan 12,000 kakitangan yang bertungkus-lumus memenuhi janji MR DIY untuk menawarkan produk berpatutan di lokasi mudah dikunjungi.

"Mereka bukan sahaja memastikan operasi kami sentiasa lancar dan efisien, tetapi juga menyokong pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang kami jalankan.

"Saya bangga dengan usaha mereka dan gembira menerima anugerah ini bagi pihak mereka," katanya.

Menurutnya, kejayaan syarikat juga disebabkan pelanggan yang setia menyokong jenama MR DIY.

"Kami bermula pada 2005 sebagai sebuah perusahaan. Kini, kami ada 827 cawangan di seluruh negara kerana hasil sokongan tidak berbelah bahagi oleh pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 7:10 AM