Sime Darby Motors.
Sime Darby Motors.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sime Darby Bhd menjangka prestasi kukuh jualan bahagian motornya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 akan berterusan sehingga tahun kewangan 2022.

Kumpulan itu semalam mengumumkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 74 peratus kepada RM1.43 bilion bagi tahun kewangan 2021 daripada RM820 juta pada tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat 20 peratus kepada RM44.48 bilion daripada RM36.93 bilion sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, masyarakat kelas menengah bandar mungkin berhasrat membeli kereta meskipun sekatan perjalanan masih dikenakan, terutamanya di China dan Australia yang merangkumi 75 peratus daripada jumlah perolehan kumpulan itu.

"Kami yakin masih ada sebahagian wang (bagi kelas menengah bandar) untuk dibelanjakan terhadap kenderaan, namun, mungkin tidak pada tahap jumlah yang sama seperti yang kita lakukan pada tahun ini (tahun kewangan 2021).

"Selain itu, kami berharap kerajaan daripada pasaran berlainan akan melakukan yang terbaik untuk merangsang penggunaan dan pasaran domestik mereka," katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian semalam.

Sebagai contoh, Jeffri berkata kerajaan Malaysia telah melanjutkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kereta untuk semua kenderaan penumpang sehingga 31 Disember 2021.

Katanya, memandangkan semakin banyak pengeluar kereta sedang beralih kepada kenderaan elektrik (EV), pengguna sewajarnya menjangkakan perubahan dalam penawaran produk di setiap pasaran seiring perubahan peraturan dan infrastruktur.

Sementara itu, beliau berkata harga komoditi yang lebih baik seperti arang batu terma dan harga minyak telah membantu pemulihan perniagaan perlombongan arang batunya di Queensland, Australia, dan menyaksikan negara-negara ini keluar daripada kemelesetan akibat pandemik secara berperingkat, yang telah meningkatkan sentimen pasaran.

Bagaimanapun, Jeffri berkata keadaan ini akan bergantung kepada Covid-19 dan faktor luaran lain.

"Melihat bilik pameran (kereta) kami perlu ditutup baru-baru ini di Auckland dan Wellington di New Zealand dan Nanjing di China, akan menjejaskan jualan kami.

"Kekurangan mikrocip dan komponen-komponen lain juga boleh mengganggu rantaian bekalan dan memberi kesan kepada prestasi kami," menurutnya.

Walaupun berdepan cabaran, Jeffri berkata Pelan Penciptaan Nilai lima tahun kumpulan itu berada di landasan pada tahun ketiga pelaksanaannya, termasuk transformasi digital, pengoptimuman modal dan pengurusan inventori.

"Kami melihat kepada sebarang kemungkinan, antaranya termasuk penggabungan dan pengambilalihan dan penjualan aset bukan teras.

"Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan pada masa yang sesuai di tengah-tengah tempoh yang tidak menentu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 12:38 PM