GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi utama yang menerajui agenda transformasi digital negara mengumumkan program Founders Grindstone Bootcamp dengan kerjasama Draper Startup House.

Dalam kenyataan hari ini, MDEC berkata, Founders Grindstone Bootcamp adalah kelangsungan daripada program pembangunan keupayaan terbaik MDEC, Founders Grindstone.

"Sebagai kelangsungan kepada Founders Grindstone, program bootcamp selama tujuh minggu itu akan menempatkan usahawan dalam pelbagai siri bengkel fokus untuk meningkatkan kelayakan mereka kepada pelabur dan kesediaannya dalam pelaburan.

"Peserta juga akan memperoleh akses kepada mentor secara peribadi daripada program rakan pelaburan serta mentor," katanya.

MDEC berkata permohonan bagi Founders Grindstone Bootcamp terbuka kepada semua pemula, terhad kepada maksimum 30 syarikat dengan keutamaan kepada syarikat yang berpusat di Malaysia, mempunyai sekurang-kurangnya satu pusingan dana dan berada pada tahap menjana pendapatan.

"Permohonan akan disaring menerusi penyerahan pembentangan dek oleh ahli panel merangkumi wakil modal teroka (VC) dan MDEC. Oleh itu, pemohon dinasihatkan untuk menyatakan maklumat di atas untuk pengesahan.

"Selain tiga kriteria berkenaan, ahli panel juga akan memilih syarikat yang memiliki jurang di mana-mana bidang dalam kesediaan pelaburan mereka," menurut MDEC.

Program yang bermula sejak tahun lalu ini memperkasa usahawan teknologi untuk memaksimumkan potensi dan fokus mereka dalam perjalanan meraih dana menerusi pelbagai siri bengkel intensif dengan rakan profesional iaitu VC, pembangunan usaha niaga dan firma guaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 5:07 PM