KWSP mempunyai kewangan yang mencukupi bagi pengeluaran caruman i-Citra dan i-Sinar yang ditawarkan kepada ahli.
KWSP mempunyai kewangan yang mencukupi bagi pengeluaran caruman i-Citra dan i-Sinar yang ditawarkan kepada ahli.
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim


PENGELUARAN caruman i-Citra dan i-Sinar yang ditawarkan kepada ahli tidak akan mempengaruhi pemberian dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun ini.

Ketua Pegawai Strateginya, Nurhisham Hussein berkata, pengeluaran itu juga tidak menjejaskan prestasi pelaburan KWSP.

"Dari segi kesan terhadap aliran tunai dan pelaburan, buat masa ini pengurusannya masih dalam keadaan terkawal.

"Bagi pengeluaran i-Sinar dan i-Citra pula, KWSP masih mempunyai kewangan yang mencukupi bagi kedua-dua inisiatif ini.

"Ia tidak akan mengganggu rancangan pelaburan semasa dan pada masa hadapan KWSP, termasuk dalam perancangan membabitkan menguruskan kecairan dan aliran tunai KWSP," katanya pada sidang media secara maya, semalam.

Beliau turut berkata, masih terlalu awal untuk melihat kesan pasaran terhadap pengaruh pengeluaran i-Sinar dan i-Citra terutama dari segi pulangan dividen.

Nurhisham berkata, masih ada tempoh lima bulan lagi untuk melihat kesan berkenaan, namun pihaknya sentiasa memberi komitmen dalam memastikan memberi pulangan dividen kompetitif kepada pencarum.

"Dari perspektif pelaburan, KWSP mempunyai peruntukan aset yang strategik dan mengambil kira krisis kewangan dan kemerosotan pasaran, kami melihat pasaran domestik tidak begitu memberangsangkan, tetapi pasaran antarabangsa berjalan dengan baik," katanya.

Sementara itu, Nurhisham berkata, sejumlah RM2.3 bilion pembayaran i-Citra disalurkan kepada 4.57 juta pemohon setakat 4 Ogos lalu.

Menurutnya, KWSP menerima 4.62 juta permohonan membabitkan jumlah RM19.3 bilion dengan RM19.1 bilion diluluskan manakala baki RM200 juta masih dalam peringkat semakan.

Beliau berkata, didapati sebanyak 27 peratus daripada pengeluar i-Citra menyatakan alasan utama mereka memohon adalah kerana pengurangan pendapatan manakala 19 peratus daripadanya disebabkan pasangan dan keluarga mereka terjejas akibat Covid-19.

"Sebanyak 16 peratus pula menyatakan mereka sudah lama tiada pekerjaan dan 14 peratus lagi kehilangan punca pendapatan utama (tidak mampu bekerja dan cuti tanpa gaji).

"Seterusnya 9.0 peratus memilih untuk memohon i-Citra untuk menambah sumber pendapatan serta tidak terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan 6.0 peratus daripada pencarum menyatakan mereka kehilangan pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:00 AM