MDEC
MDEC

Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) terus komited untuk membangunkan ekonomi digital Malaysia yang berkisar mengenai keperluan negara dan rakyat serta apa yang diperlukan oleh mereka untuk terus mara dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Dengan kemunculan teknologi digital baharu seperti kecerdasan buatan, teknologi robotik dan bioteknologi, ia menjanjikan masa depan yang cerah kepada negara dan kita tidak boleh ketinggalan.

MDEC dalam satu kenyataan sempena ulang tahun ke-25 bulan ini berkata, MDEC semakin hampir untuk mencapai matlamat tahun ini di mana 100,000 rakyat Malaysia diperkasakan untuk mempelajari kemahiran baharu dan menjana pendapatan menerusi platform digital.

"Kami akan terus memberikan fokus kepada empat teras Nadi Digital - Kemahiran Baharu (New skills), Penerimaan (Adoption), Pengganggu (Disruptors) dan Pelaburan (Investments).

"Paling penting, di bawah agenda Malaysia 5.0, kami ingin mencapai impian masyarakat Malaysia yang terangkum dengan teknologi serta menyemai peluang sama rata kepada rakyat dan perniagaan," katanya.

Menurutnya, bermula 2011, MDEC diberi mandat menjayakan Rangka Kerja Ekonomi Digital Inovatif (IDE) atau dikenali sebagai Digital Malaysia yang menjadi popular dan dijadikan rangka tindakan kepada program transformasi digital negara.

"Menerusi pelan ini juga lahirnya aspirasi untuk ekonomi digital menyumbang 18.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang tahun 2020.

"Aspirasi itu kini dicapai di mana ekonomi digital Malaysia menyumbang kepada 19.1 peratus kepada KDNK pada tahun 2019, dan dijangka akan mencapai 22.6 peratus menjelang 2025.

"Hampir keseluruhan transformasi digital negara kini mula meraih pencapaian yang diharapkan. Dari 2017 hingga 2020, sebanyak 489,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengguna pakai e-dagang dalam operasi perniagaan mereka," katanya.

MDEC berkata, dalam era pandemik Covid-19 ini, MDEC sekali lagi membuktikan betapa lasaknya institusi ini.

"Sejak 2019, kami menyusun semula peranan kami yang kini Memimpin Ekonomi Digital Malaysia Ke Hadapan.

"Biar apa juga rintangan dan kepayahan yang mendatang di kala norma baharu ini, MDEC menerajui inisiatif dan usaha yang bukan hanya membantu rakyat Malaysia mendepani masa depan yang tidak menentu, malah menuntun kita ke ufuk mega bersinar terang, dipenuhi dengan pelbagai peluang.

"Baru-baru ini, MDEC memperkenalkan Strategi Pelaburan Digital Future 5 Malaysia iaitu pelan lima tahun yang menyasarkan untuk menarik pelaburan digital dan memajukan ekonomi digital Malaysia selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12.

"Kesemua pelan ini adalah usaha berterusan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan dasar 4IR yang beriltizam untuk menjadikan Malaysia, negara berteknologi tinggi menjelang 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 7:01 AM