Dr Mohd Khairuddin pada sidang media selepas meninjau pekerja industri perkayuan dan perabot di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit, Banting.
Dr Mohd Khairuddin pada sidang media selepas meninjau pekerja industri perkayuan dan perabot di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS) menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) MTC@Olak Lempit, Banting.

Banting: Kementerian Perusahaaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menganggarkan sektor perkayuan akan mencatatkan kerugian sekitar RM60 juta sehari kerana tidak dapat beroperasi selama dua bulan susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kerugian itu hanya anggaran kasar, ia tidak termasuk kontrak yang hilang akibat tidak dapat membekalkan komoditi itu kepada pelanggan.

"Semua terganggu disebabkan PPN yang berlangsung sekarang, ia bertujuan memastikan rakyat tidak berhadapan dengan jangkitan Covid-19 yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) di Olak Lempit dekat sini, di bawah Program Vaksinasi Sektor Agrikomoditi (VACOMS).

Mengulas mengenai program VACOMS, Mohd Khairuddin berkata, seramai 10,000 pekerja industri perkayuan dan perabot yang berada di sekitar Selangor akan diberi suntikan vaksin di PPV berkenaan, sebahagian besarnya dalam kalangan warga asing.

"Permintaan sangat tinggi kerana pada peringkat awal kita menjangkakan 8,000 sahaja, tetapi permintaan mencecah 10,000 permintaan, program ini akan berjalan hingga awal September depan, bagi dos pertama ia akan berlangsung hingga pertengahan Ogos manakala dos kedua pula dijadualkan berakhir 18 September 2021.

"Kementerian berharap dengan kejayaan vaksinasi dua dos untuk sektor perkayuan ini, sektor perkayuan ia boleh beroperasi lebih cepat demi kelangsungan hasil negara. Sektor perladangan mempunyai 80,000 pekerja warga asing," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, bagi syarikat yang berada di bawah sektor agrikomoditi, permohonan menyertai program VACOMS boleh dibuat melalui KPPK sekiranya syarikat mempunyai jumlah pekerja sekurang-kurangnya 1,000 orang atau bergabung dengan syarikat lain bagi mencukupkan bilangan tersebut.

Untuk program tersebut, beliau berkata MTC telah memberi subsidi sebanyak RM30 untuk setiap pekerja dan kakitangan industri terlibat.

"Kami berikan vaksin Sinovac percuma daripada kerajaan, cuma syarikat perlu membayar kos pengurusan iaitu kira-kira RM70 sahaja. Kementerian berharap program ini akan turut diikuti di tempat lain yang berasaskan perkayuan seperti di Muar, Johor, ia akan menyusul dan ini sebagai permulaan ke arah menjayakan program vaksinasi bersama dengan warga industri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:02 AM