SHAFIE  (kiri) dan Dr Fadhlullah  pada sidang media selepas pelancaran Pupuk@AEON secara maya di sini, semalam.
SHAFIE (kiri) dan Dr Fadhlullah pada sidang media selepas pelancaran Pupuk@AEON secara maya di sini, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Sebanyak 100 usahawan kecil tempatan yang berpotensi akan dibantu menerusi inisiatif Pupuk@AEON dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara percuma tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin berkata, menerusi Pupuk@AEON pihaknya beriltizam untuk memperkasakan perusahaan mikro menerusi kaedah pendigitisasi yang lebih sistematik untuk pemasaran serta jualan dalam talian yang lebih efektif, sistematik dan berdaya saing.

Katanya, AEON akan membuka ekosistem sedia ada untuk memberi peluang pembangunan perniagaan kepada perusahaan mikro terbabit.

"Peluang terbabit merangkumi pemanfaatan produk jualan dan perkhidmatan AEON, kedai fizikal dan digital, rangkaian logistik dan saluran komunikasi AEON serta perkhidmatan kewangan melalui AEON Credit Service (M) Berhad.

"Proses pembangunan usahawan mikro melalui Pupuk@AEON ini dijangka akan berlangsung selama lima tahun dan AEON merasa sangat bersyukur di atas peluang untuk berkolaborasi dengan SKMM dalam usaha untuk memperkasakan usahawan kecil ini.

"Sebagai permulaan kami akan membantu usahawan berpotensi ini membangunkan produk untuk memenuhi pasaran tempatan yang turut dijual di platform AEON dan seterusnya menembusi pasaran eksport," katanya pada sidang media secara maya selepas pelancaran Pupuk@AEON secara maya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Shafie berkata, dengan usaha sama yang dijalinkan dan bimbingan yang betul, ia bukan sahaja akan memberi lonjakan kepada sumber pendapatan golongan usahawan mikro terbabit tetapi juga memperkasakan daya saing mereka untuk bersaing di pasaran yang lebih luas.

Beliau berkata, pihaknya yakin menerusi Pupuk@AEON, kemajuan perniagaan akan turut mempertingkatkan ekonomi usahawan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan masyarakat setempat.

"Dengan Pusat Internet Komuniti (PIK) sebagai paksi aktiviti disokong oleh ekosistem yang mampan dan inklusif, semangat yang kental dan usaha yang berterusan, adalah tidak mustahil bagi usahawan mikro ini meningkat ke skala yang lebih besar dan turut dapat untuk menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, Dr Fadhlullah berkata, menerusi bantuan yang diberikan oleh PIK terpilih bersama pihak AEON, usahawan mikro ini akan diberikan bimbingan seperti strategi pemasaran dan pembungkusan untuk menjalankan perniagaan di ruang pasar raya AEON.

"Inisiatif seperti ini dapat membantu hasrat kerajaan dalam Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (Pupuk) untuk membantu kira-kira 800,000 usahawan kecil menjelang 2025," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:02 AM