PLATFORM dalam talian rasmi, Pejabat Pelaburan Digital (DIO) berperanan penting bagi Malaysia dalam usaha menarik pelaburan berkualiti, khususnya berkaitan pendigitalan, dari dalam dan luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pejabat itu bertindak sebagai jendela tunggal untuk menyelaras dan melancarkan semua pelaburan digital asing dan domestik dalam negara.

Beliau berkata, aspek itu termasuk minat pelaburan digital yang dicapai semua agensi penggalakan pelaburan lain di Malaysia.

"Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini meluluskan penubuhan DIO yang berperanan penting dalam menarik pelaburan digital.

"DIO adalah kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran platform dalam talian rasmi DIO secara maya semalam.

Beliau menggesa pelabur terutama pelabur asing supaya terus memanfaatkan kelebihan Malaysia dalam usaha pengembangan operasi mereka di Asia.

Mustapa berkata, skop DIO meliputi empat bidang iaitu, penyelarasan, penilaian, pemudahan dan sokongan dasar.

"Fungsi utama DIO adalah menilai minat pelaburan digital serta memberi saranan nilai sesuai kepada pelabur.

Selain itu, DIO turut menyokong pemudahan pelaburan menyeluruh seperti proses sebelum dan selepas kelulusan, termasuk pemudahan bagi ekspatriat dan bakat digital," katanya.

Beliau berkata, penubuhan DIO adalah dalam usaha menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia di bawah inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan pada Februari 2021 - dengan matlamat khusus memperoleh pelaburan bernilai RM70 bilion menjelang 2025 selain melonjakkan sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia daripada 19.1 peratus kepada 22.6 peratus.

Beliau berkata, platform dalam talian DIO baharu ini menyediakan pendekatan cekap dalam mempertimbangkan cadangan pelaburan untuk pelabur, dan dengan proses permohonan terlaras, ia juga membolehkan pelabur mendapat maklum balas pantas daripada pegawai yang bertanggungjawab di DIO.

"Sebelum ini, pelabur perlu menggunakan banyak saluran, termasuk menerusi agensi penggalakan pelaburan lain yang kerap kali menimbulkan kekeliruan dan potensi kehilangan minat pelaburan digital.

"Kerajaan dan agensi seperti Mida dan MDEC menyedari mengenai keperluan untuk bertindak pantas. Kami terus giat berusaha memastikan kami dapat mengekalkan serta mempertingkatkan aliran masuk pelaburan digital berkualiti yang besar dan stabil," katanya.

Beliau yakin semua program, dasar dan usaha yang kerajaan dan seluruh agensi lakukan, seperti DIO meningkatkan pelaburan dan akhirnya memacu negara ke hadapan.

Mustapa turut mengulangi bahawa kerajaan dan semua agensi seperti MDEC akan terus mencipta dan mengembangkan ekosistem kondusif yang perlu untuk menarik pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 7:00 AM