ANTARA produk Al-Ulum yang dijual di Koperasi Al-Ulum di Kampung Tebuk Yan 2, Pantai Remis.
ANTARA produk Al-Ulum yang dijual di Koperasi Al-Ulum di Kampung Tebuk Yan 2, Pantai Remis.
NORDIN bersama produk  Al-Ulum di Koperasi Al-Ulum di Kampung Tebuk Yan 2, Pantai Remis.
NORDIN bersama produk Al-Ulum di Koperasi Al-Ulum di Kampung Tebuk Yan 2, Pantai Remis.

KOPERASI Al-Ulum Pantai Remis Berhad (KAUPRB) menyasarkan untuk menembusi pasaran Mauritius, Belgium, Abu Dhabi, Brunei, Thailand dan Indonesia menjelang tahun depan menerusi produk Muslim keluarannya.

Pengurus Besar Kumpulan Al-Ulum, Nordin Said berkata, pihaknya sudah menerima permintaan daripada negara terbabit dan bersedia untuk meneroka pasaran antarabangsa.

"Kami sudah mencapai perundingan di peringkat akhir bagi membawa masuk barisan produk Al-Ulum ke negara terbabit dan kami juga sudah menghantar produk ke Mauritius untuk tujuan penilaian pertama.

"Setakat ini, kami mempunyai 100 produk yang dihasilkan dalam kategori makanan, minuman, penjagaan diri, kebersihan dan kesihatan yang dijual pada harga bermula RM5 hingga RM180 (bagi produk madu)," katanya.

Menurutnya, selain meluaskan pasaran di luar negara, pihaknya juga akan memberi tumpuan pasaran di Malaysia dengan memantapkan lagi pemasaran secara dalam talian online.

Nordin mengakui sejak pandemik Covid-19 melanda negara dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, koperasi itu mengalami penurunan jualan sehingga 30 peratus.

Ia kerana sebelum ini, kebanyakan jualan disumbangkan melalui aktiviti promosi terbuka seperti karnival, acara perdagangan dan menyertai tapak pameran.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya memfokus kepada pemasaran menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Telegram.

"Sebanyak 80 peratus jualan disumbangkan melalui pemasaran secara offline dan 20 peratus online, justeru kami mempergiatkan pasaran online.

"Memandangkan perniagaan kami 100 peratus berkonsepkan Muslim (suci dan bersih), kami yakin permintaan untuk produk Al-Ulum sentiasa ada dan antara produk yang sentiasa laris adalah sabun pencuci, syampu, ubat gigi, kopi dan coklat," katanya.

Ditubuhkan pada 2016, KAUPRB mempunyai 200 ahli termasuk ahli lembaga pengarah serta stokis dan ejen di seluruh Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:55 AM