PENGGUNA merancang  setiap perbelanjaan mereka dan berhati-hati dengan aktiviti membeli-belah.
PENGGUNA merancang setiap perbelanjaan mereka dan berhati-hati dengan aktiviti membeli-belah.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin


PERSEKITARAN kurang memberangsangkan akibat Covid-19 menyaksikan semakin ramai pengguna mengalami tahap kemerosotan kewangan apabila peluang pekerjaan semakin terhad sejak akhir-akhir ini, demikian menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

MIER dalam Laporan Kaji Selidik Sentimen Pengguna bagi suku kedua 2021 mendedahkan, responden pada suku kedua tahun ini secara umumnya mengalami kemerosotan kewangan berbanding suku sebelumnya dan suku kedua tahun lalu.

"Sejumlah 42 peratus responden mengalami kemerosotan kewangan bagi tempoh dikaji, masing-masing meningkat empat dan tiga peratus berbanding suku pertama tahun ini dan suku kedua tahun lalu.

"Hanya lapan peratus melaporkan pendapatan lebih tinggi pada suku kedua tahun ini, paras kedua terendah yang pernah dicatatkan iaitu tujuh peratus pada suku keempat 2004," katanya.

Laporan itu mendedahkan, daripada responden yang mengalami kemerosotan pendapatan, 63 peratus adalah golongan berpendapatan rendah yang paling teruk terjejas pada suku berkenaan.

"Responden yang memperoleh pendapatan tinggi menyumbang sembilan peratus pada suku ini, menyusut lebih daripada separuh berbanding 20 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya," katanya.

Mengulas mengenai prospek pasaran buruh, MIER berkata, tinjauan sektor pekerjaan lebih baik bagi tempoh beberapa bulan akan datang juga semakin rendah.

"Sebanyak 14 peratus responden amat setuju bahawa pasaran kerja kurang memberangsangkan, sementara 57 peratus menjangkakan kekosongan dalam sektor pekerjaan sedikit bertambah dalam tempoh beberapa bulan mendatang.

"Kekurangan keyakinan pekerjaan dikesan dalam semua kumpulan pendapatan, lokasi dan wilayah pada suku kedua tahun ini, sekali gus menunjukkan jangkaan negatif meningkat lebih dua kali ganda dalam semua kategori kecuali wilayah Timur," katanya.

MIER menambah, walaupun pertumbuhan pekerjaan dan pendapatan lemah, harga barang dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

"Pengguna merancang memperlahankan (perbelanjaan) dan berhati-hati dengan aktiviti membeli-belah barang tahan lama utama sepanjang tahun ini susulan perolehan pendapatan dan pasaran buruh yang terus memberi tekanan kepada poket mereka.

"Permintaan bagi semua barangan terbabit dijangka berkurangan dalam beberapa bulan akan datang.

"Sebagai contoh, rumah yang menjadi item popular paling dicari, hilang daya tarikan pada suku kedua tahun ini. Hanya tujuh peratus responden merancang mencari rumah baharu, kadar terendah sejak suku ketiga 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 8:47 AM