SHELDON
SHELDON

KESELURUHAN bekalan hartanah di pasaran meningkat pada suku kedua tahun ini disebabkan pertambahan jumlah kediaman untuk dijual di pasaran sekunder.

Menurut laporan terkini Indeks Pasaran Hartanah Malaysia (MPMI) dikeluarkan PropertyGuru, keseluruhan bekalan hartanah meningkat 34.53 peratus suku ke suku dan 11.94 peratus pada suku kedua tahun ini.

Data ini yang dikesan berdasarkan penyenaraian meluas di PropertyGuru, mencatatkan jumlah peningkatan bekalan tahun ke tahun (YoY) tertinggi dalam tempoh dua tahun.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, peningkatan bekalan hartanah di negara ini pada suku kedua (Q2) 2021 besar kemungkinan disebabkan pertambahan jumlah kediaman untuk dijual di pasaran sekunder dalam keadaan semasa ekonomi.

Trend peningkatan penawaran hartanah ini boleh dilihat pada empat wilayah utama yang diliputi MPMI iaitu Kuala Lumpur dengan kenaikan YoY sebanyak 16.91 peratus, Selangor (48.95 peratus), Pulau Pinang (40.32 peratus) dan Johor (17.47 peratus).

Katanya, pandemik menyebabkan ramai rakyat Malaysia kehilangan pendapatan sama ada disebabkan pemotongan gaji, pengurangan hari bekerja dan gaji atau pemberhentian kerja.

"Walaupun pengenalan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama enam bulan menawarkan sedikit kelegaan kepada sebilangan orang, mereka yang kekurangan wang masih membuat keputusan menjual hartanah mereka.

"Oleh itu, kita mungkin boleh melihat lebih banyak bekalan kediaman memasuki pasaran sekunder, kesan daripada mereka yang ingin melepaskan pelaburan hartanah mereka bagi meringankan beban kewangan semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 7:11 AM