Riad Asmat
Riad Asmat
BERNAMA

Kuala Lumpur: Negara-negara Asean perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam dan konsisten bagi gelembung perjalanan intra-Asean untuk mencapai pemulihan industri pelancongan yang lebih baik, demikian pandangan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Beliau berkata pada masa ini, setiap negara mempunyai set protokol dan SOP yang berbeza dalam menangani pandemik, di samping beberapa gelembung perjalanan yang menyukarkan perjalanan.

"Sudah tentu, cabaran sekarang ialah menyesuaikan protokol ini dengan ketidaktentuan dan kemunculan varian baharu, namun daripada berbuat demikian, kita sebaliknya perlu menyeragamkan SOP bagi semua negara Asean serta bekerjasama dengan pihak korporat dan sektor swasta," katanya hari ini pada Webinar Pelancongan Asean 2021: Prospek dan Laluan ke Arah Pemulihan.

Justeru, beliau berpandangan perbincangan berterusan perlu diadakan bagi mengetahui dan memahami teknologi yang sesuai dan tepat untuk digunakan dalam melaksanakan SOP di seluruh negara Asean.

"Contohnya, AirAsia memperkenalkan aplikasi super baru-baru ini dan kami akan mempunyai pasport digital sendiri. Ini akan membolehkan semua penumpang kami memuat naik sijil dan keputusan saringan Covid-19 mereka ke dalam aplikasi tersebut," katanya.

Riad berkata AirAsia akan bekerjasama dengan rakan-rakan lain di rantau ini untuk menyeragamkan keperluan dan memastikan maklumat yang disediakan itu adalah sah dan benar.

"Selain itu, saya berpandangan kerangka yang teratur dan konsisten di seluruh rantau ini akan lebih memudahkan perjalanan, membolehkan industri pelancongan pulih daripada semua kesan yang ditimbulkan oleh pandemik," katanya.

Malaysia mengalami penyusutan ketara dari segi ketibaan pelancong antarabangsa pada 2020 apabila merosot kepada 4.33 juta daripada 26.1 juta pada 2019.

Perbelanjaan pelancong turut berkurangan 85.3 peratus kepada RM12.67 bilion pada 2020 daripada RM86.1 bilion pada tahun sebelumnya manakala purata perbelanjaan per kapita berjumlah RM2,928.40, menguncup 11.3 peratus daripada RM3,300.40 pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 8:53 PM