KERJA pemasangan rangkaian Smart 8T8R FDD komersial berskala besar giat dijalankan.
KERJA pemasangan rangkaian Smart 8T8R FDD komersial berskala besar giat dijalankan.

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd (Huawei) menggunakan rangkaian Smart 8T8R FDD (Frequency Division Duplex) komersial berskala besar bagi menangani pertumbuhan pesat trafik data dan kesesakan rangkaian.

Ketua Pegawai Operasi (Teknologi) Celcom, Afizulazha Abdullah berkata, rangkaian berskala besar pertama dunia itu akan memastikan jalinan 4G Celcom dapat menyediakan pengalaman mudah dan lancar sepanjang tempoh peralihan kepada 5G apabila ia dilancarkan kelak.

Beliau berkata, inisiatif rangkaian Smart 8T8R sebahagian daripada pelaburan rangkaian dipacu Celcom bernilai lebih RM250 juta.

Ia akan mengurangkan kesesakan trafik rangkaian dalam menjana perkhidmatan dan pengalaman rangkaian yang konsisten sejak Disember 2020.

"Pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan memacu pendigitalan. Celcom turut mencatatkan pertumbuhan 70 peratus dalam trafik data iaitu 474 juta gigabait (GB) berbanding suku pertama 2021.

"Penggunaan data setiap bulan bagi setiap pengguna juga meningkat 46.1 peratus secara tahunan atau 21.8 GB setiap bulan bagi setiap pengguna berbanding dengan 14.9 GB setiap bulan bagi setiap pengguna tahun lalu.

"Penggunaan teknologi rangkaian Smart 8T8R Huawei meningkatkan kapasiti rangkaian 4T4R Celcom yang sedia ada sebanyak hampir 80 peratus, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik rangkaian dan memberi pengalaman 4G baharu kepada pengguna," katanya dalam kenyataan.

Afizulazha berkata, teknologi rangkaian Smart 8T8R FDD Huawei juga akan memaksimumkan potensi kedua-dua tapak sedia ada dan pelbagai sumber spektrum untuk menambah baik dengan ketara kapasiti mudah alih dan pengalaman pengguna.

Beliau berkata, ketika ini, Celcom menggunakan beberapa tapak 8T8R di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Katanya, tapak 8T8R ini juga akan menyokong tapak 4T4R sedia ada di kawasan luar bandar dan bandar selain lebih banyak tapak 4G akan dinaik taraf dengan teknologi 8T8R di seluruh negara.

"Pelaburan rangkaian dipacu Celcom yang sedang dilaksanakan adalah sejajar dengan aspirasi Jalinan Digital Negara (Jendela) dalam mencapai liputan 4G.

"Kumpulan akan terus bekerjasama dengan Huawei bagi menginovasikan dan melaksanakan kerja teknikal serta memastikan pengalaman rangkaian terbaik untuk semua rakyat," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Huawei Malaysia, Zac Chow berkata, sebagai peneraju teknologi global, Huawei bangga dapat berkongsi sumber dan kepakarannya dengan Celcom bagi projek rangkaian itu.

Beliau berkata, penyelesaian FDD Smart 8T8R adalah sejajar dengan trend industri bagi pembangunan multiantena dan Huawei menghargai peluang untuk bekerjasama dengan Celcom bagi mengurangkan kesesakan rangkaian serta menambah baik pengalaman pengguna dengan ketara.

"Usaha ini menyokong kemajuan ekonomi digital Malaysia ketika bergerak memasuki era digital dan ekonomi digital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 7:02 AM