Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Dennis Martin.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Dennis Martin.
BERNAMA

Kuala Lumpur: CTOS Digital Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM19.53 juta untuk tempoh enam bulan yang berakhir pada 30 Jun 2021 daripada RM15.62 juta, tempoh sama bagi tahun kewangan sebelumnya.

Hasil meningkat kepada RM75.80 juta daripada RM64.73 juta dengan sumbangan kukuh daripada operasi di Malaysia dan antarabangsa.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata keuntungan bersihnya meningkat kepada RM11.84 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2021 daripada RM7.50 juta pada tempoh yang sama untuk tahun kewangan sebelumnya.

Perolehan bagi suku tersebut naik kepada RM37.85 juta daripada RM30.65 juta tahun ke tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Dennis Martin dalam satu kenyataan yang berasingan berkata, pertumbuhan kukuhnya pada suku kedua dan separuh pertama untuk tahun kewangan itu membuktikan model perniagaannya berdaya tahan dalam persekitaran pelaksanaan pelbagai sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.

"Kami akan terus memberikan penyelesaian digital inovatif kepada pangkalan pelanggan akaun utama kami yang luas. Ini adalah untuk mengembangkan segmen komersial kami menerusi pengaktifan baharu dan mendidik serta menyediakan penyelesaian untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu bagi membuat keputusan kewangan yang tepat," katanya.

CTOS Digital dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Julai 2021 dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.10 sesaham dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.4 bilion.

IPO CTOS itu bakal menjadi penyenaraian terbesar setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 9:32 PM