MARTIN.
MARTIN.
Bisnes HM

Kuala Lumpur: CTOS Digital Bhd (sebelum ini dikenali sebagai CTOS Holdings Sdn Bhd) yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 19 Julai depan menjangka mengumpulkan sehingga RM1.2 bilion daripada tawaran awam permulaannya (IPO).

IPO itu membabitkan 1.1 bilion saham dalam penyedia penyelesaian analisis digital dan biro kredit itu yang terdiri daripada tawaran peruntukan jualan sehingga 900 juta saham sedia ada dan terbitan awam 200 juta saham baharu berharga RM1.10 sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Dennis Martin berkata, daripada hasil terbitan awam sebanyak RM220 juta, syarikat itu menggunakan RM155.2 juta untuk membayar semua pinjaman bank bagi melangsaikan hutang manakala RM59 juta diperuntukkan bagi pelaburan bersinergi dan pengambilalihan syarikat yang disasarkan.

"Baki RM6.1 juta digunakan untuk menampung bayaran dan perbelanjaan penyenaraian," katanya pada majlis pelancaran prospektus CTOS Digital yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Mengenai pengagihan 200 juta saham baharu, Martin berkata, 44 juta diperuntukkan kepada permohonan daripada orang awam Malaysia menerusi undian manakala 120 juta bagi permohonan daripada pengarah, kakitangan dan individu layak yang menyumbang kepada kejayaan syarikat.

Baki 36 juta ditawarkan kepada pelabur Malaysia dan pelabur institusi asing.

Sementara itu, sehingga 900 juta saham sedia ada ditawarkan bagi jualan juga diperuntukkan kepada pelabur Malaysia dan institusi asing menerusi tawaran saham persendirian.

Menurutnya, berdasarkan kepada harga IPO pada RM1.10, jumlah permodalan pasaran syarikat bagi penyenaraian adalah sekitar RM2.4 bilion.

"Sehubungan itu, kami menyasar memperuntuk hampir 65 peratus daripada perbelanjaan modal kami untuk menambah baik infrastruktur teknologi maklumat dan analisis data kami dalam tempoh dua tahun akan datang dan mengukuhkan keupayaan kami dalam membangunkan penyelesaian analisis digital bagi pelanggan kami.

"Begitu juga, kami terus meneroka peluang memperluas rangkaian produk kami dan capaian pelanggan serta mengembangkan operasi kami menerusi pengambilalihan perniagaan bersinergi dalam Asean," katanya.

Martin berkata, CTOS Digital mewujudkan dasar dividen 60 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti memberi ganjaran kepada keyakinan pemegang saham terhadap syarikat itu.

CTOS Digital menyediakan penyelesaian digital kepada tiga segmen pelanggan teras iaitu segmen akaun utama termasuk sebilangan besar institusi kewangan dan korporat utama, segmen komersial yang termasuk perniagaan kecil dan sederhana serta lebih 1.3 juta pelanggan individu yang menyedari kepentingan memahami kedudukan kewangan mereka bagi kredit akses lebih baik.

Pada 2020, CTOS Digital mengambil alih pegangan dalam Business Online Public Company Limited (BOL), Thailand, penyedia utama penyelesaian membuat keputusan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 10:23 AM