DR Mohd Uzir
DR Mohd Uzir

Kuala Lumpur: Perbelanjaan pelancongan domestik merosot kepada RM40.4 bilion tahun lalu, 60.8 peratus lebih rendah berbanding RM103.2 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi negatif yang dicatatkan tahun ini menjadi penurunan kali pertama sejak 2008 apabila DOSM mula menyusun statistik Survei Pelancongan Domestik.

Katanya, langkah pelaksanaan sekatan pergerakan akibat penularan pandemik Covid-19 menjejaskan aktiviti pelancongan domestik di Malaysia tahun lalu.

"Secara keseluruhan, ketibaan pelawat domestik merosot 44.9 peratus kepada 131.7 juta pelawat berbanding 239.1 juta pelawat pada 2019, mengakibatkan penurunan 60.8 peratus dalam jumlah perbelanjaan dengan mencatatkan RM40.4 bilion berbanding RM103.2 bilion pada tahun sebelumnya," katanya dalam Laporan Kaji Selidik Pelancongan Domestik 2020 yang dikeluarkan DOSM, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir menjelaskan, prestasi rendah bagi perbelanjaan pelancongan domestik didorong oleh penurunan jumlah perbelanjaan oleh pelancong dan pelawat harian, masing-masing sebanyak -65.9 peratus dan -51.1 peratus.

"Ini selari dengan pertumbuhan negatif bagi jumlah pelawat harian (-44.7 peratus) dan pelancong (-45.4 peratus). Dari segi jumlah perjalanan, pelawat domestik melakukan 147.0 juta perjalanan di dalam negara, menurun 55.8 peratus berbanding 2019.

"Pada 2020, membeli-belah mencatatkan peratus sumbangan tertinggi daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan yang dibuat oleh pelawat domestik untuk perjalanannya dengan sumbangan 52.6 peratus, diikuti oleh makanan & minuman 18.6 peratus dan bahan api kenderaan 9.0 peratus.

"Ini adalah kali pertama perbelanjaan bagi makanan & minuman mendahului perbelanjaan bagi bahan api kenderaan," katanya.

Sementara itu, beliau mendedahkan, peratus sumbangan perjalanan untuk tujuan membeli-belah merekodkan 42.3 peratus mengatasi sumbangan perjalanan untuk melawat saudara-mara dan rakan 32.0 peratus, kali pertama sejak 2008.

"Ini diikuti oleh sumbangan bagi percutian/ mengisi masa lapang/ berehat, iaitu 16.9 peratus berbanding 9.0 peratus tahun lalu.

"Selangor adalah negeri paling ramai dikunjungi oleh pelawat domestik pada 2020, iaitu 19.7 juta pelawat, diikuti Perak (13.2 juta), Kuala Lumpur (12.4 juta), Sabah (10.3 juta) dan Kedah (10.1 juta)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 1:00 AM