PENGASAS Che Nor Food Solution, Noraida Aznita Azizan.
PENGASAS Che Nor Food Solution, Noraida Aznita Azizan.
Hajar Umira Md Zaki


Bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan, kini Che Nor Food Solution Sdn Bhd mampu memiliki kilang pemprosesan sendiri yang boleh mengeluarkan sehingga 30,000 bekas sambal sehari.

Pengasasnya, Noraida Aznita Azizan berkata, ia adalah satu pencapaian yang besar baginya yang bermula dengan hanya mengeluarkan 1,500 bekas sambal ketika awal penjualan sambal garing ikan bilis ini.

Malah, dengan keupayaan teknologi di kilang pengeluarannya serta ruang lebih besar, pihaknya mampu memenuhi permintaan pelanggan merangkumi produk sambal kering dan sambal basah pada tahun ini.

"Di Che Nor Food Solution, kami kini bukan sahaja mampu menyediakan sambal garing ikan bilis, malah sambal garing udang, sambal garing tempe serta pelbagai jenis serunding.

"Harga yang ditawarkan adalah serendah RM6.90. Malah, kami turut menyasarkan penjualan tahun ini sebanyak RM10 juta dan alhamdulillah telah mencapai 50 peratus," katanya ketika dihubungi Bisnes Metro.

Noraida berkata, sambal garingnya boleh didapati dari 3,000 kedai runcit dan pasar raya di seluruh Malaysia dan kebanyakannya adalah kerjasama bersama usahawan di bawah syarikatnya dikenali sebagai Chenorpreneur.

Dalam pada itu, melihat kepada sambutan yang diterima, pihaknya menyasarkan untuk mengedarkan produk keluarannya ke lebih 5,000 pasar raya dan kedai runcit tahun ini.

Menurutnya, sambal garing keluarannya menggunakan resipi turun-temurun daripada ibunya dan dia serta keluarga tidak pernah jemu untuk mengkomersialkan produk berkenaan.

"Dalam mengekalkan rasa sambal yang asli, saya akan memastikan sukatan yang betul dalam pemprosesan serta akan melatih pekerja untuk dapatkan rasa yang sama.

"Bahkan, bagi memproses satu masakan yang lama dalam kuantiti besar, kami perlu pastikan cara masakan mengikut apa yang sudah dilatih serta perlu berhati-hati supaya sambal tidak hangit atau lemau," katanya.

Katanya, pihaknya juga kini dalam usaha untuk mengeluarkan sambal basah berikutan permintaan yang banyak dan akan mengeluarkan produk berasaskan kopi dalam masa terdekat.

"Kami juga dalam perancangan untuk menembusi pasaran di Thailand dan Indonesia selepas memasuki pasaran Vietnam, Laos, Brunei serta Arab Saudi," katanya.

Individu yang berminat untuk menyertai Chenorpreneur boleh melayari usahawanretailchenor.com.my dan pelanggan yang ingin mendapatkan Sambal Garing Che Nor boleh layari http://www. sambalchenor.com.my atau hubungi mereka di talian 011-51338686.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 6:10 AM