KEMUDAHAN pembiayaan oleh Standard Chartered membantu Pharmaniaga mengimport dan mengedarkan vaksin dengan lebih cepat.
KEMUDAHAN pembiayaan oleh Standard Chartered membantu Pharmaniaga mengimport dan mengedarkan vaksin dengan lebih cepat.

Kuala Lumpur: Pharmaniaga Bhd akan meningkatkan pengedaran vaksinnya melalui pembiayaan yang diperoleh menerusi komitmen pembiayaan bukan untuk keuntungan bernilai AS$1 bilion daripada Standard Chartered Malaysia bagi memerangi Covid-19.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kemudahan pembiayaan itu akan membantu kumpulan farmasi mengimport dan mengedarkan vaksin dengan lebih cepat kepada rakyat.

"Dalam tempoh seperti ini, kita perlu memanfaatkan kekuatan dan sumber satu sama lain dalam memerangi musuh yang sama iaitu virus Covid-19.

"Melalui pembiayaan yang diperoleh ini, kami akan melengkapkan penyaluran 12 juta dos vaksin Sinovac empat bulan lebih awal berbanding yang dijadualkan, dari November ke Julai tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A Anwar berkata, akses kepada dana adalah penting untuk pemulihan ekonomi Malaysia berikutan krisis yang besar ini.

Diumumkan ketika meningkatnya pandemik pada awal 2020, inisiatif pembiayaan Standard Chartered memberikan dana bukan berasaskan keuntungan kepada syarikat yang terbabit dalam memerangi Covid-19.

Ia turut meliputi pengeluar dan pengedar yang merancang untuk menukar kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan perlu dalam memerangi pandemik.

"Dengan komitmen yang tinggi terhadap Malaysia selama lebih satu abad, menjadi tanggungjawab kami untuk menyumbang dalam menyokong usaha vaksinasi negara dengan meningkatkan kepentingan komersial dan menggunakan dana Covid-19 kami melalui pelanggan kami seperti Pharmaniaga," katanya.

Pembiayaan tambahan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pelaksanaan vaksin Malaysia dengan menyediakan akses kepada vaksin untuk lebih ramai berusaha untuk mencapai imuniti kelompok pada akhir 2021.

Kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dijangka sebagai faktor kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi Malaysia tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 7:01 AM