PETUGAS kesihatan melakukan suntikan vaksin Sinovac. FOTO arkib NSTP
PETUGAS kesihatan melakukan suntikan vaksin Sinovac. FOTO arkib NSTP
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di bawah kendalian KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mempunyai kapasiti untuk memberikan vaksin sehingga 6,000 orang sehari menjelang akhir Jun 2021.

PPV di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang mula beroperasi pada 7 Jun lalu telah meningkatkan bilangan orang ramai yang menerima suntikan vaksin Covid-19.

Di peringkat Kumpulan, KPJ mempunyai 16 pusat PPV yang sedang beroperasi memberikan vaksin kepada kira-kira 4,000 orang sehari.

Ini menjadikan KPJ penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar yang menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kerajaan.

Seramai lebih 60,000 individu sudah divaksin di PPV KPJ sejak Mac tahun ini.

Menjelang akhir Jun, KPJ akan mempunyai 21 PPV yang akan mampu memberi vaksin kepada lebih 6,000 orang setiap hari.

Ia adalah kira-kira empat peratus daripada 150,000 vaksinasi harian yang telah disasarkan untuk seluruh negara.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Ahmad Shahizam Mohd Shariff berkata, sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, KPJ mempunyai keupayaan untuk memberi vaksin kepada lebih daripada 10,000 orang setiap hari jika diperlukan.

"Sebagai inisiatif masa depan, KPJ sedang meneroka peluang untuk menyediakan suntikan vaksin secara persendirian, iaitu selain dari program kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-28 & Mesyuarat Agung Luarbiasa KPJ Healthcare.

Bagi prestasi tahun lalu, KPJ Healthcare menyaksikan operasi mencabar akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara yang mengakibatkan penyusutan bilangan pesakit dan Kadar Penghunian Katil (BOR).

Pengurusan telah bertindak balas dengan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan impak daripada pandemik, termasuk langkah mengoptimum kos di seluruh organisasi yang dicapai melalui pendigitalan dan memanfaatkan teknologi.

KPJ Healthcare menghasilkan prestasi kewangan berdaya tahan pada tahun lalu dengan margin perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) menyusut sedikit kepada 22.5 peratus pada tahun 2020 berbanding 23.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Ahmad Shahizam berkata, bagi menyuntik tenaga baharu ke dalam KPJ Healthcare, pihaknya menubuhkan Pejabat Pengurusan Transformasi (TMO) baharu untuk menyemarakkan pelbagai inisiatif strategik bagi memantapkan lagi jenama KPJ Healthcare.

"Fasa pertama transformasi ini memfokus kepada "pembinaan tapak" yang kini sedang dalam pelaksanaan.

"Ia meliputi pelaksanaan pelbagai inisiatif utama, termasuk penyediaan pelan laluan digital bagi syarikat, pemusatan fungsi kritikal bagi mendorong kecekapan dan penyusunan semula organisasi struktur korporat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 9:33 PM