TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: S&P Global Ratings (S&P) mengesahkan semula penarafan kredit kedaulatan mata wang asing dan mata wang tempatan jangka panjang Malaysia pada 'A-' dan 'A' dengan tinjauan negatif.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengesahan itu membuktikan kedudukan luaran negara yang kukuh, fleksibiliti dasar monetari, rekod menyokong pertumbuhan ekonomi mampan dan ketahanan ekonomi pada masa tidak menentu yang diiktiraf.

Beliau berkata, ia menunjukkan keyakinan S&P terhadap Malaysia di tengah-tengah tekanan penilaian kredit yang belum pernah terjadi sebelumnya di peringkat global, yang mana kira-kira 20 peratus daripada semua penarafan hutang dengan prospek negatif pada akhir 2020 telah diturunkan oleh tiga agensi penarafan kredit utama setakat ini.

Katanya, hampir 18 bulan berlakunya pandemik Covid-19, prospek pertumbuhan global tetap tidak menentu dengan varian Covid-19 baharu telah menyebabkan peningkatan semula kes dan pelaksanaan semula langkah membendung dan penangguhan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial oleh kerajaan di seluruh dunia.

"Rantau Asia, khususnya, telah menghadapi pelbagai cabaran seperti peningkatan jumlah kes jangkitan dan jumlah kematian yang lebih tinggi, diburukkan lagi ketidaksamaan vaksin, yang mana akses kepada vaksin dikuasai oleh ekonomi maju.

"Oleh itu, pemulihan pertumbuhan dijangka berbeza di seluruh negara dan sektor, mencerminkan variasi dalam cabaran yang berkaitan dengan pandemik dan juga tahap sokongan fiskal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam menangani cabaran, Malaysia telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (NRP) merangkumi empat fasa yang akan membolehkan negara keluar dari pandemik Covid-19.

Beliau berkata, berpandukan paras ambang berdasarkan purata kes baharu Covid-19 harian, kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratusan penduduk yang divaksin sepenuhnya, NRP akan membolehkan penduduk, perniagaan dan pelabur untuk merancang dengan sewajarnya ketika Malaysia bergerak dari satu fasa ke fasa yang lain.

Katanya, keadaan itu akan memberikan kepastian dan kejelasan terutama dari segi membuka semula sektor ekonomi dan sosial sebaik saja paras ambang itu dicapai.

"S&P telah menekankan bahawa sejak pelaksanaan fasa pertama pada 1 Jun 2021, kes telah stabil sejak dua minggu sebelumnya, dan pemulihan ekonomi Malaysia akan beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini, berdasarkan pendekatan pembukaan semula secara berhati-hati oleh kerajaan.

"Setakat ini, Malaysia berjaya mengurangkan purata kes harian dari paras tertinggi 8,000 kepada sekitar 5,000 sehari, sambil mengekalkan nisbah kes kematian kurang dari 0.6 peratus dan disokong oleh kadar pemulihan lebih 85 peratus," katanya.

Tengku Zafrul berkata, dalam memperkukuhkan prospek pertumbuhan, kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan dan bantuan bernilai RM380 bilion sejak pandemik melanda, dan belanjawan tahunan bernilai RM322.5 bilion untuk 2021.

"Daripada langkah di bawah Belanjawan 2021 dan pakej rangsangan, sekurang-kurangnya RM300 bilion masih berterusan, dan dijangka menyokong pemulihan ekonomi, terutama pada fasa NRP yang berlainan.

Setakat ini, pemantauan ketat oleh Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (​laksana) Kementerian Kewangan menunjukkan RM200 bilion telah disalurkan daripada pakej rangsangan ekonomi dan bantuan yang memanfaatkan lebih 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan sejak Mac 2020.

"Dalam jangka masa sederhana, kerajaan tetap teguh dalam meneruskan pembaharuan struktur yang berterusan untuk meningkatkan potensi pertumbuhan ekonomi. Ini merangkumi pelaksanaan Aspirasi Pelaburan Nasional untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 9:10 PM