Mohamed Azmin
Mohamed Azmin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyeru industri yang belum berdaftar dengan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam- Swasta (Pikas) segera berbuat demikian bagi mencapai tahap imuniti kelompok negara.

Menteri Kanan merangkap menteri Miti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kementerian itu memperkenalkan Pikas khusus untuk pekerja sektor pembuatan sejak 16 Jun lalu bagi mengelakkan jangkitan virus daripada terus meningkat dalam kalangan pekerja, terutama dalam subsektor pembuatan.

Di bawah Pikas, Mohamed Azmin berkata, Miti menyasarkan dua juta pekerja sektor pembuatan akan mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September ini.

"Untuk merealisasikan perkara ini, ia juga bergantung kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja dari segi bilangan doktor dan pasukan kesihatan yang ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pikas.

"Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga memberi jaminan kita akan menerima lebih banyak dos vaksin pada Ogos nanti.

"Jika cepat kita laksanakan, cepat juga kita akan kembali kepada kehidupan biasa, namun tetap dengan norma baharu," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, semalam.

Beliau berkata, melihat kepada data KKM, beliau sedia maklum kluster baharu pada masa ini kebanyakannya dari tempat kerja.

"Saya faham, mungkin ada yang menyoal kenapa sesetengah sektor itu dibenarkan beroperasi sedangkan sekarang negara di bawah perintah sekatan pergerakan penuh," katanya.

Beliau berkata, keputusan membenarkan sektor pembuatan dibuka kerana ia adalah sebahagian daripada rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti penjagaan kesihatan awam.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, bagi syarikat-syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan Miti, kementerian tidak akan teragak-agak untuk memberi kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 7:01 AM