Maxis Bhd
Maxis Bhd
BERNAMA

Kuala Lumpur: Maxis Bhd akan memastikan pelanggannya terus dapat menggunakan perkhidmatannya secara fizikal dan dalam talian, serta rangkaian yang tidak terganggu untuk kesalinghubungan yang berterusan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Selain itu, Maxis TV juga sudah diperbaharui dengan penyedia penstriman OTT kelas dunia yang terbaik apabila pelanggan kini boleh menonton di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa, kata Maxis dalam satu kenyataan hari ini.

"Rangkaian mudah alih dan tetap Maxis tidak terganggu kerana kerja pemasangan dan pemulihan perkhidmatan terus dilakukan oleh pakar teknikal Maxis semasa PKP, kecuali di kawasan dan zon di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran Bersasar (Temco).

"Oleh kerana ramai bergantung pada kesalinghubungan berkelajuan tinggi semasa bekerja atau belajar dari rumah, Maxis juga sudah meningkatkan kapasitinya daripada program pengembangan rangkaian 2020. Jurutera juga berada di lokasi strategik di seluruh negara untuk menangani masalah rangkaian," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Gokhan Ogut berkata, dengan pendidikan menjadi tonggak utama dalam inisiatif masyarakat Maxis, kumpulan itu meningkatkan kegiatan digital bagi program komuniti unggul, Maxis eKelas, untuk menyokong pembelajaran selepas waktu persekolahan.

"Kami menyediakan sesi YouTube Live dengan kuiz dan pembelajaran berasaskan permainan melalui portal eKelas untuk memastikan pelajar dapat meraih faedah teknologi," katanya.

Maxis eKelas adalah inisiatif pembelajaran digital selepas waktu sekolah untuk pelajar dari Tahun 4 hingga Tingkatan 5, yang membawa pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan dan bersemangat serta menyediakan akses kepada kandungan pendidikan berkualiti melalui portal eKelas, sesuai dengan Sukatan Pelajaran Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 4:06 PM