PETRONMyKasih Jom Derma yang memberi peluang kepada pemegang kad PMiles menderma mata ganjaran mereka.
PETRONMyKasih Jom Derma yang memberi peluang kepada pemegang kad PMiles menderma mata ganjaran mereka.
Bisnes Metro

Kuala Lumpur: Petron Malaysia bekerjasama dengan Yayasan MyKasih dalam program sumbangan PetronMyKasih Jom Derma yang memberi peluang kepada pemegang kad Petron Miles (PMiles) menderma mata ganjaran mereka.

Bermula 7 Mei hingga 31 Ogos 2021, setiap mata ganjaran PMiles yang disumbangkan akan ditukar kepada nilai matawang dan diserahkan kepada Yayasan MyKasih.

Melalui yayasan itu, keluarga B40 boleh membeli bahan makanan dan barang keperluan dari lebih 250 kedai runcit termasuk Mydin, Tesco, Giant, Econsave, The Store, Aeon, 99 Speedmart dan TF Value Mart.

Setiap 500 mata PMiles yang disumbangkan akan ditukar menjadi RM5 sementara setiap 1,000 mata PMiles pula adalah bersamaan RM10.

Pelanggan boleh menyumbang RM5 dan RM10 secara berkali-kali melalui kaunter jualan di semua stesen minyak Petron.

Ketua Dagangan Runcit dan Perniagaan Komersial Petron Malaysia, Choong Kum Choy berkata, membantu komuniti terutama pada saat pandemik yang memberi kesan kepada banyak pihak adalah cara syarikat membantu golongan ini.

"Bersama Yayasan MyKasih, kami menyediakan peluang kepada pelanggan untuk turut sama membantu dengan menderma mata ganjaran PMiles mereka kepada yang memerlukan.

"Kad PMiles kami lebih daripada tawaran ganjaran menarik kepada ahli, kini ia juga membolehkan ahli berkongsi mata ganjaran mereka dengan keluarga yang lebih memerlukan dengan mata PMiles 500 PMiles bernilai RM5.

"Mereka yang memberi sumbangan kepada MyKasih, resit pengecualian cukai juga akan dikeluarkan," katanya.

Yayasan MyKasih yang ditubuhkan sejak 2009, telah menyalurkan sumbangan bernilai RM280 juta kepada lebih 300,000 isi rumah dan pelajar berpendapatan rendah di seluruh negara.

Program ini dijalankan menggunakan ciri keselamatan cip MyKad yang membolehkan dana sumbangan disalurkan dengan cara selamat, bersasar dan telus, terus kepada penerima yang sah melalui akaun MyKad mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 9:26 AM