FOTO BERNAMA
FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Agrobank akan terus menawarkan bantuan pembayaran dan menerima permohonan sehingga akhir Disember 2021 di bawah program Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar (BBPB).

Malah, sebarang bantuan kewangan yang diambil tidak akan mempengaruhi status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka.

Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pihaknya memahami ketika ini pelanggan berhadapan dengan kesan pandemik yang berpanjangan dan akan mula cemas untuk melakukan pembayaran semula pembiayaan mereka.

"Sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab, kami akan terus memberikan sokongan yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pelanggan yang terjejas.

"Bagi pelanggan yang masih berhadapan dengan kesukaran membuat bayaran ansuran bulanan, Agrobank akan terus menawarkan bantuan pembayaran dan menerima permohonan sehingga akhir Disember ini," katanya.

KHADIJAH
KHADIJAH

Menurutnya, selain dari kumpulan sasaran yang diumumkan dalam Pemerkasa Tambahan, pelanggan lain yang terjejas turut dialu-alukan menghubungi pegawai cawangan atau pengurus perhubungan masing-masing untuk membincangkan kemungkinan penyelesaian bagi mengatasi cabaran kewangan yang mungkin sedang mereka hadapi.

"Sebagai institusi kewangan yang mengutamakan kesejahteraan dan kemajuan komuniti pertanian, kami berharap langkah ini membantu pelanggan yang berhadapan masalah kewangan, sekali gus membolehkan mereka memberi fokus kepada perkara lain yang lebih kritikal dalam meneruskan kehidupan.

"Sekiranya situasi berlanjutan, bank akan mempertimbangkan kemungkinan menawarkan penyusunan semula dan penjadualan semula pembiayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 9:11 AM