KENAIKAN mendadak jawatan kosong digital menunjukkan ekonomi digital terus berkembang ketika pandemik.
KENAIKAN mendadak jawatan kosong digital menunjukkan ekonomi digital terus berkembang ketika pandemik.
Sri Ayu Kartika Amri

MALAYSIA mencatatkan peningkatan 300 peratus dalam jawatan kosong digital bermula Jun tahun lalu hingga April lalu.

  Naib Presiden dan Ketua Bahagian Kemahiran dan Kerjaya Digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Dr Sumitra Nair berkata, kenaikan mendadak itu menunjukkan ekonomi digital terus berkembang ketika pandemik.

   Katanya, oleh kerana Malaysia dan dunia mengalami kesan yang berpanjangan akibat pandemik Covid-19, peranan digital semakin penting untuk kelangsungan perniagaan.

"Oleh itu, tidak menghairankan Malaysia menyaksikan peningkatan hampir tiga kali ganda jawatan kosong digital bermula Jun tahun lalu hingga April lalu.

  "Data ini diperoleh berdasarkan kajian kekosongan pekerjaan digital oleh MDEC di lima platform pengambilan popular di Malaysia sejak Jun tahun lalu.    

  "MDEC mendapati pada Jun tahun lalu jumlah kekosongan jawatan digital ialah sebanyak 19,000 dan meningkat kepada lebih 56,000 kekosongan pada Mac lalu," katanya menerusi kenyataan.

  Menurutnya, LinkedIn menawarkan kekosongan jawatan paling banyak berbanding empat platform lain dan pekerjaan paling popular meliputi bidang pembangunan perisian, sains data, perkhidmatan IT dan e-dagang.

  "Sebanyak 76 peratus kekosongan untuk pekerja berpengalaman berbanding hanya 20 peratus yang ingin graduan baharu manakala selebihnya untuk pelajar menjalankan latihan industri.

  "Berdasarkan data daripada platform LinkedIn Talent Insights (LTI), kemahiran yang sangat diminati di Malaysia dan Asia Tenggara merangkumi bidang analitik, pengembangan perisian serta pengaturcaraan dan pengkomputeran awan.

  "Pada masa sama, semakin banyak industri bukan teknologi seperti syarikat pasaran, kosmetik, muzik dan tembakau meningkatkan pengambilan bakat digital sejak setahun lalu," katanya.

   Selain itu, MDEC mendapati jawatan paling popular dalam kalangan bakat digital di Malaysia merangkumi eksekutif, pakar, pengurus pemasaran digital, saintis data, jurutera perisian, ketua bahagian digital dan yang paling menarik ialah In-demand Digital Skills (YoY) Opinion Editorial Youtuber.

  Data daripada LTI juga menunjukkan bahawa sejak setahun lalu terdapat peningkatan antara 20 hingga 30 peratus dalam jumlah bakat yang bekerja sendiri sebagai freelancer atau YouTuber.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 7:00 AM