GRAB mengadakan promosi selama seminggu pada setiap bulan bagi mengetengahkan perniagaan kecil dalam GrabFood.
GRAB mengadakan promosi selama seminggu pada setiap bulan bagi mengetengahkan perniagaan kecil dalam GrabFood.

GRAB Malaysia memperkenalkan satu program untuk membantu peniaga kecil menyesuaikan diri dengan peningkatan permintaan perkhidmatan penghantaran.

Program GrabFood Small Business Programme, katanya, merangkumi tiga bidang utama - iaitu penyelesaian dalam talian, kempen pemasaran bagi mendorong lebih banyak permintaan dan keterlihatan di GrabFood dan peluang pembelajaran serta kemajuan untuk perniagaan kecil.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, perniagaan kecil GrabFood boleh memiliki laman web mereka sendiri dengan URL unik sebagai saluran jualan tambahan menerusi Grab Online Shop yang dijadualkan dilancarkan Jun depan.

Caj perkhidmatan 10 peratus bagi kedai dalam talian dikecualikan selama enam bulan.

Selain itu, Grab mengadakan promosi selama seminggu pada setiap bulan bagi mengetengahkan perniagaan kecil dalam GrabFood.

"Lanjutan daripada PKP 3.0 di mana dine-in tidak dibenarkan, Grab akan memulakan GrabFood Small Business Week dengan promosi penghantaran percuma dari 25 Mei ini hingga 7 Jun depan bagi membantu rakan peniaga meningkatkan keterlihatan dan pesanan mereka," katanya.

Syarikat itu berkata, program berkenaan bertujuan mendorong lebih banyak permintaan terhadap perniagaan kecil dan meningkatkan keterlihatan dengan meningkatkan trafik dan jualan perniagaan kecil.

Bagi melengkapkan perniagaan dengan ilmu pengetahuan serta maklumat, Grab akan menganjurkan siri webinar dengan topik seperti bagaimana memaksimumkan keberadaan dalam talian dan menggunakan data sebagai maklumat bagi meningkatkan aliran trafik dalam kedai digital.

"Usaha ini adalah tepat pada masanya untuk menjadikan program #TechUntukSemua Grab lebih mudah dicapai dengan memperkasakan perniagaan kecil untuk mengakses peluang melalui ekonomi digital," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh berkata, pandemik ini menjejaskan perniagaan makanan kecil-kecilan dan memberi gambaran mengenai keperluan mereka dalam usaha mendepani tempoh yang serba mencabar ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 7:10 AM