HANIM Hamdan (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima.
HANIM Hamdan (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima.

Kuala Lumpur: Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) sudah membantu 100 keluarga asnaf melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ramadan dan Hari Raya 2021.

Semua keluarga asnaf telah menerima bantuan bernilai RM600 dengan RM300 pertama dalam bentuk barangan runcit rumah yang disumbangkan melalui CSR dalaman Lotus's, Kiriman Ikhlas Raya (KIR) dan baki RM300 dalam bentuk baucar dari Tabung Kiriman Ikhlas (TKI) iaitu inisiatif CSR gabungan Lotus's bersama rakan kongsi korporat, All Kurma Sdn Bhd dan pelanggan.

Untuk inisiatif KIR, Lotus's telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor; dan Lembaga Zakat Selangor dan Kedah, untuk pengagihan RM30,000 Zakat Wakalah yang disumbangkan oleh rakan sekerja Lotus's.

Sementara itu, inisiatif TKI berjaya mengumpulkan RM30,000 tambahan untuk keluarga asnaf yang sama.

Dengan setiap pembelian sekurang-kurangnya RM18 produk All Kurma sepanjang April, RM1 disalurkan ke dana TKI.

Ketua Komunikasi dan CSR Lotus's, Hanim Hamdan berkata, pihaknya gembira dapat membantu warga asnaf sepanjang Ramadan lalu.

"Kami tahu bahawa ramai yang terkena impak ekonomi kerana pandemik Covid-19 yang berlarutan ini, dan kami berharap sumbangan gabungan kami yang bernilai RM600 dapat membantu memberi kelegaan dan kegembiraan kepada keluarga ini," katanya.

Pengagihan barangan runcit rumah dan baucar kepada keluarga asnaf dilakukan sepanjang Ramadan dengan yang terakhir dilakukan di Kuala Lumpur pada 4 Mei lalu pada acara yang dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Lotus's, sebagai Tesco Malaysia, pada tahun 2019 telah bekerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan MAIWP, dalam mengagihkan barang-barangan runcit rumah kepada 12 keluarga asnaf yang terletak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak.

Pada tahun 2020, pengagihan Zakat Wakalah diperuntukkan kepada 60 rakan sekerja yang mendapati mereka adalah satu-satunya pencari nafkah di dalam keluarga mereka kerana ahli keluarga yang lain kehilangan perkerjaan akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 7:01 AM