ARAB Saudi jadi hab edaran minyak sawit dan produk makanan berkaitan minyak sawit ke rantau Asia Barat dan Afrika Utara.
ARAB Saudi jadi hab edaran minyak sawit dan produk makanan berkaitan minyak sawit ke rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

MISI pelaburan dan perdagangan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 April hingga 4 Mei lalu berjaya menarik komitmen pelaburan RM2.36 bilion daripada kedua-dua negara.

Selain itu, Arab Saudi juga menyatakan komitmen untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia.

Misi diketuai Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu juga menarik komitmen untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan Malaysia berjumlah RM1.3 bilion.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam kenyataan berkata, kedua-dua negara itu komited memantapkan lagi hubungan dengan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan lebih strategik, terutama dalam perdagangan dan pelaburan.

Miti berkata, antara pencapaian penting yang dicapai menerusi misi ke Arab Saudi adalah komitmen jitu kerajaan negara itu untuk meningkatkan import minyak sawit Malaysia.

Katanya, peningkatan import minyak sawit Malaysia itu akan menjadikan Arab Saudi hab pengedaran minyak sawit dan produk makanan berkaitan minyak sawit ke rantau Asia Barat dan Afrika Utara serta menyokong dasar meningkatkan keselamatan makanan di rantau itu.

Dari segi potensi pelaburan, ia berkata, syarikat di Arab Saudi komited dalam masa terdekat untuk melaburkan RM200 juta di Malaysia.

"Pada masa sama, syarikat Arab Saudi juga komited untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan Malaysia berjumlah RM833.5 juta yang akan direalisasikan dalam tahun mendatang.

"Begitu juga UAE, syarikat negara itu komited dalam jangka masa terdekat untuk melabur secara keseluruhan RM2.16 bilion di Malaysia dan membeli barangan Malaysia berjumlah RM470 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 7:10 AM