LEBIH 11,000 cawangan bank dijangka ditutup di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang.
LEBIH 11,000 cawangan bank dijangka ditutup di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Mohd Zaky Zainuddin

HAMPIR 600 cawangan perbankan runcit di Malaysia dijangka ditutup dalam tempoh 10 tahun akan datang, demikian menurut kajian terkini oleh Roland Berger.

Menurut kajian syarikat perunding terkemuka Eropah bertajuk Branching Out - The future of retail banking networks, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.

"Kami menjangkakan 18 peratus atau lebih 11,000 cawangan bank ditutup di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Penutupan cawangan perbankan runcit ini dijangka berlaku di enam pasaran termasuk Malaysia.

"Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina mengalami fasa pertumbuhan selama 10 tahun terakhir namun jumlah cawangan dijangka mulai menurun atau terus mengecil di negara yang sudah menyaksikan trajektori penurunan.

"Indonesia, Thailand dan Malaysia akan memperlihatkan penggabungan cawangan yang ketara ketika ekonomi terus berkembang, selain dipacu insentif dan peraturan kerajaan yang menyokong lebih banyak aktiviti perbankan digital," katanya.

Rakan Kongsi Kanan Roland Berger, Philippe Chassat berkata, penutupan cawangan bank di Malaysia juga selaras dengan sasaran jelas kerajaan terhadap perkhidmatan digital.

Katanya, langkah mempromosikan infrastruktur pelaburan dan menyokong pembentukan ekosistem fintech yang rancak untuk memastikan peralihan yang stabil ke arah kewangan digital.

"Sebagai contoh, Malaysia berhasrat mengumpul sekurang-kurangnya 15 juta pengguna e-dompet iaitu hampir separuh daripada populasi menjelang 2025.

"Kerajaan juga menyokong pelaburan dalam infrastruktur yang diperlukan. Malaysia turut memperkenalkan program insentif besar bagi mempercepat penggunaan e-dompet," katanya.

Tahun lalu, kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menyalurkan insentif RM50 kredit e-dompet yang dimanfaatkan 11.36 juta rakyat.

Program itu menyaksikan RM567.9 juta dimanfaatkan penerima.

Malah, penyedia e-dompet yang terbabit dalam program berkenaan iaitu Boost, GrabPay dan Touch n Go eWallet juga menyumbang manfaat berbentuk padanan kredit serta pelbagai insentif lain berjumlah RM433.8 juta dalam usaha merancakkan ekonomi Malaysia.

Mengulas lanjut, Chassat berkata, menjelang 10 tahun ke hadapan, keadaan sosioekonomi dan teknologi di kebanyakan rantau bersedia untuk menyaksikan transformasi dalam rangkaian cawangan bank yang berterusan.

Katanya, memandangkan perubahan radikal berlaku dalam sektor perbankan, bank di seluruh dunia perlu mempercepatkan perjalanan transformasi cawangan, mengoptimumkan kedudukan dan model perniagaan.

Justeru, beliau menegaskan, bank perlu menggunakan kerangka kerja transformasi yang tersusun dan holistik bagi memastikan kejayaan dan kelestarian jangka panjang.

"Bidang utama yang harus dipertimbangkan adalah lokasi terbaik bagi penempatan cawangan untuk memaksimumkan perkhidmatan pelanggan dan penjanaan pendapatan.

"Selain itu, bank perlu meningkatkan produktiviti cawangan bagi memaksimumkan keuntungan, memperkayakan pengalaman pelanggan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan untuk bersaing dengan bank yang lebih inovatif serta mengubah pemikiran, selain menanamkan teknologi baharu dalam organisasi.

"Bank mesti bersedia untuk memikirkan kembali jaringan cawangan mereka secara radikal untuk 10 tahun ke hadapan," katanya.

Sementara itu, Prinsipal di Roland Berger, Dr Luca Turba berkata, dengan kepantasan dan kemudahan perkhidmatan digital yang kini ditawarkan kepada pelanggan perbankan, bank perlu mengembangkan cawangan daripada pusat aktiviti transaksi kepada penyediaan perkhidmatan lebih dekat dengan pelanggan.

Katanya, di pasaran perbankan runcit lebih matang seperti Thailand, Malaysia dan Singapura, perkhidmatan juruwang rutin seperti memeriksa tunai, mendeposit wang dan proses pengeluaran wang semakin banyak digunakan oleh subsegmen pelanggan berusia yang kurang memahami teknologi.

"Berdasarkan trend semasa, cawangan bank besar dengan ramai juruwang yang khusus untuk melaksanakan transaksi mudah akan tinggal menjadi kenangan. Justeru, peranan cawangan bank terus berkembang pada dekad yang akan datang ke arah menguruskan set aktiviti yang lebih fokus.

"Cawangan bank terus memainkan peranan penting walaupun dalam keadaan berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 5:25 PM