TENGKU Zafrul
TENGKU Zafrul

Kuala Lumpur: Pelbagai pakej bantuan yang diberikan kerajaan sejak tahun lalu berjaya membantu menyumbang tiga hingga empat peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2020.

Ia secara tidak langsung membuktikan pakej yang dilaksanakan membantu menyerap impak pandemik Covid-19 yang merekodkan penguncupan 5.6 peratus tahun lalu berbanding negara lain seperti Filipina (-9.5 peratus) dan Thailand (-6.1 peratus).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun hampir semua negara terjejas oleh wabak dan mencatat pertumbuhan negatif pada tahun lalu, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun 2021 adalah antara yang tertinggi di dunia.

"Terdapat beberapa faktor yang akan menyumbang kepada pencapaian KDNK diunjurkan termasuk harga minyak semasa sekitar AS$60 setong. Belanjawan 2021 dibuat berdasarkan harga minyak pada AS$42 setong.

"Selain Belanjawan 2021, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) turut membantu negara keluar dari krisis Covid-19 dan melonjakkan semula ekonomi," katanya dalam Laporan Laksana ke-50, semalam.

Menurutnya, faktor penyumbang lain adalah pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tambah dengan kesan pengganda tinggi melalui aktiviti pembuatan yang memfokuskan kepada elektrik dan elektronik (E&E), peralatan perubatan, aeroangkasa dan bioteknologi.

"Pemacu ekonomi lain yang akan menyumbang kepada pertumbuhan pada 2021, termasuk penyelenggaraan kapal dan pengangkutan maritim, e-dagang, logistik, teknologi pendidikan, pertanian dan petrokimia.

"Malah, projek infrastruktur berskala besar akan diteruskan bagi pertumbuhan yang dipacu pelaburan, seperti projek Sistem Rapid Transit (RTS) Johor Bahru - Singapura (RM 3.2 bilion); Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) (RM50 bilion); Transit Aliran Massa (MRT) 2 (RM31 bilion); Transit Aliran Ringan (LRT) 3 (RM17 bilion); Jalinan Digital Negara (Jendela) (RM7.5 bilion); dan pembangunan teknologi," katanya.

Katanya, setakat ini, jumlah yang dibelanjakan atau diperuntukkan kerajaan bagi tahun 2020 melebihi RM500 bilion manakala untuk tahun ini lebih RM400 bilion disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 7:03 AM