FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan AmBank dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) bagi menggalakkan peminjamnya membuat bayaran balik pinjaman melalui JomPAY.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, kerjasama ini adalah bukti komitmen dan kesungguhan PTPTN untuk memastikan peminjam dapat melaksanakan bayaran balik pinjaman dengan cepat, mudah dan selamat secara dalam talian ketika penularan pandemik Covid-19, ketika ini.

"Dalam masa yang sama, peminjam PTPTN juga dapat menyertai peraduan yang dianjurkan dan memenangi wang tunai sebagai tambahan kewangan untuk mereka membayar balik pinjaman mereka.

"PTPTN sentiasa mengalu-alukan pembabitan syarikat korporat lain untuk turut sama mengadakan kerjasama berbentuk kempen, peraduan mahupun sumbangan dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN bagi membantu peminjam PTPTN menyelesaikan pinjaman PTPTN mereka atau sebagai simpanan SSPN.

"AmBank juga sudah bekerjasama dengan PTPTN sejak 2017 dalam mendorong peminjam dan pendeposit melakukan pembayaran melalui JomPAY di mana peminjam dan pendeposit boleh melakukan transaksi JomPAY tanpa sebarang kos," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dengan lebih daripada 8,000 biller di seluruh negara, JomPAY adalah perkhidmatan pembayaran bil dalam talian terbesar di Malaysia, yang menawarkan kemudahan perkhidmatan pembayaran kepada pelanggan melalui mana-mana 42 bank di Malaysia.

Beliau berkata, AmBank sudah mencatatkan pertumbuhan mencecah 115 peratus dalam nilai kutipan JomPAY untuk PTPTN daripada RM116.92 (2017), kepada RM251.71 (2020).

Katanya, dalam tempoh yang sama, jumlah transaksi meningkat sebanyak 186 peratus iaitu daripada 332,511 (2017) ke 952,783 (2020).

"Sesungguhnya bayaran balik pinjaman yang dibuat oleh peminjam menerusi saluran JomPAY ini amat bermakna dan mampu menyumbang kepada kesinambungan pinjaman untuk generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 4:20 PM