KUMPULAN Jakel melangkah setapak lagi apabila menjalin kerjasama strategik dengan pemaju hartanah, Platinum Victory bagi membangunkan projek pembangunan bercampur di Setapak Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar RM1.25 bilion.

Pembangunan usaha sama ini membabitkan tapak seluas 9.2 ekar (3.72 hektar) yang dinamakan J.Satine dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar Setapak.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, projek J.Satine adalah pembangunan bersepadu merangkumi 4,303 unit kediaman dan perdagangan, di mana ia terbahagi kepada tiga komponen pembangunan termasuklah 3,600 unit Pangsapuri Mampu Milik Residensi Wilayah, 661 unit SOHO dan 42 unit komersial.

Katanya, projek ini juga bakal memaparkan konsep pembangunan menarik selari dengan suasana persekitaran yang memberi gaya hidup sempurna, selesa dan harmoni.

"Terdahulu, Kumpulan Jakel membina dan menyiapkan gedung tekstil terbesar di Malaysia pada 2014 iaitu Jakel Mall.

"Malah, Kumpulan Jakel juga membina dan menjual pangsapuri mewah J.Dupion, Cheras.

"Projek yang mempunyai 418 unit ini sudah siap dan diserah kunci pada 2018 selepas dijual sepenuhnya.

"Kumpulan Jakel juga menjadi pemaju bagi projek pembinaan Mercu Bank Simpanan Nasional (BSN), Shah Alam setinggi 20 tingkat di Seksyen 14, Shah Alam dan siap sepenuhnya pada 2019.

"Justeru, projek kali ini, kami optimis mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli rumah terutama mereka yang mencari kediaman mewah pada harga mampu milik," katanya pada taklimat media di sini, semalam.

Pangsapuri mampu milik dengan keluasan 800 kaki persegi seunit yang dijual pada harga RM300,000 ini memiliki kemudahan awam yang lengkap dan bermanfaat kepada bakal penghuni berserta kolam renang dan taman rekreasi.

Mohamed Faroz berkata, bagi fasa pertama ini pihaknya akan membina 2,000 unit kediaman dan beliau menjemput orang ramai turut serta di majlis prapelancaran projek J.Satine yang akan disiarkan secara maya melalui platform Facebook (J.Satine) pada 9 April 2021 jam 8 malam.

Program ini juga menampilkan selebriti terkemuka tanah air seperti Wani Hasrita, Elfira Loy, Harris Alif, Intan Ladyana, Amira Othman serta ikon hartanah Ahyat Ishak.

Beliau berkata, prapelancaran ini akan memberi peluang kepada penonton untuk melihat konsep dan gaya hidup serta hiasan dalaman unit contoh kediaman yang siap dibina di tapak galeri jualan J.Satine untuk dikunjungi bakal pembeli.

Penonton turut berpeluang membuat pendaftaran awal sebelum pelancaran rasmi yang dijangka pada Jun 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 7:20 AM