RADZ  (tengah) melancarkan Program Virtual Online Bina Bisnes Berjaya - Edisi Khas Nak Mula Berniaga (NMB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
RADZ (tengah) melancarkan Program Virtual Online Bina Bisnes Berjaya - Edisi Khas Nak Mula Berniaga (NMB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

RICHWORKS International Sdn Bhd (RichWorks) menyasarkan membantu 150,000 rakyat Malaysia menjana pendapatan sendiri menerusi penganjuran Program Virtual Online Bina Bisnes Berjaya-Edisi Khas Nak Mula Berniaga (NMB), akhir bulan ini.

Timbalan Naib Presiden Kanan RichWorks, Radz Mohd berkata, program yang bakal berlangsung tiga hari bermula 23 April ini ditaja sepenuhnya RichWorks tanpa memerlukan peserta membayar yuran.

Katanya, banyak peluang tersedia untuk menjana pendapatan namun segelintir tidak tahu kaedah berniaga dengan betul menyebabkan ia tidak mendapat hasil pulangan diharapkan.

"Menerusi NMB, peserta diberi pendedahan bagaimana memahami beberapa perkara asas yang ramai orang terlepas pandang iaitu pentingnya pemikiran seorang usahawan. Contohnya, tidak pernah putus asa kerana tiada masalah dalam perniagaan tidak boleh diselesaikan kecuali tanpa ilmu.

"Ramai orang sebenarnya ada banyak ketakutan dalam hidup hingga menjadi halangan mereka mulakan perniagaan, malah ada yang bertukar-tukar perniagaan macam tukar baju.

"Tetapi semua ini dapat diubah jika kita mula berniaga dengan asas dan prinsip betul bagi seorang usahawan hingga dapat menghasilkan jualan mencecah ratusan ribu ringgit," katanya pada pelancaran Program Virtual Online Bina Bisnes Berjaya-Edisi Khas NMB di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Pelancaran itu juga sempena Inner Circle Meeting (ICM) yang dihadiri lebih 300 ahli Titanium di bawah program pementoran RichWorks bersama Datuk Wira Dr Azizan Osman yang dianjurkan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, peserta yang mengikuti NMB juga didedahkan dengan kesilapan yang boleh melewatkan kejayaan serta faktor perniagaan gulung tikar.

"Kita dedahkan apa kesilapan usahawan dalam menjalankan perniagaan supaya peserta boleh elak atau bersiap sedia dengan masalah atau perkara yang mereka lalui apabila berniaga nanti.

"Kami harap usaha ini dapat dikongsi dan membantu lebih ramai lagi belajar bagaimana mula berniaga dengan cara betul.

"Mereka yang berminat hanya perlu membuat pendaftaran menerusi laman web di www.BinaBisnesBerjaya.com untuk menempah tiket hadir ke program NMB ini secara dalam talian," katanya.

Dalam pada itu, katanya, RichWorks menyasarkan membantu 1.8 juta orang sepanjang tahun ini dengan anggaran 150,000 peserta menimba ilmu secara percuma menerusi program dijalankan setiap bulan mengikut fokus berlainan.

"Inisiatif RichWorks ini membantu lebih ramai orang di luar sana mempunyai pendapatan tambahan, membina kehidupan lebih baik dan memperbaiki tahap kewangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 7:10 AM