Ted Lee (tiga dari kiri), dan Ben Yeoh (tiga dari kanan) ketika majlis menandatangani perjanjian usaha sama dengan Bermaz Auto Bhd (BAuto) untuk membentuk Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB) di Shah Alam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ted Lee (tiga dari kiri), dan Ben Yeoh (tiga dari kanan) ketika majlis menandatangani perjanjian usaha sama dengan Bermaz Auto Bhd (BAuto) untuk membentuk Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB) di Shah Alam. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Lizam Ridzuan


Shah Alam: Kia Motors Corporation merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan serantau kenderaan Kia untuk pasaran Asia Tenggara dan lokasi berpotensi lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik, Ted Lee berkata, pembuat kereta dari Korea Selatan itu melihat potensi yang luas dijanjikan Malaysia.

"Ini adalah masa yang tepat untuk memanfaatkan potensi Malaysia secara progresif," katanya pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama dengan Bermaz Auto Bhd (BAuto) untuk membentuk Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB) di sini hari ini.

Kia Malaysia dimiliki oleh Kia sebanyak 60 peratus untuk memacu KMSB yang akan memulakan proses pemasangan tempatan (CKD) untuk tiga model iaitu Seltos dan Karnival dalam tempoh 12 ke 18 bulan ini.

"Sebuah lagi model akan diumumkan sedikit masa lagi," katanya.

Kia Malaysia turut melantik anak syarikat BAuto iaitu Dinamikjaya Motors Sdn Bhd sebagai pengedar kenderaan jenama Kia di negara ini.

Ia akan mengedar dan menjual kenderaan Kia CKD dan import sepenuhnya (CBU), jualan alat ganti tulen dan khidmat selepas jualan bagi membina kembali reputasi jenama itu di sini.

Pengerusi Eksekutif BAuto, Datuk Seri Ben Yeoh berkata, kos pelaburan sebanyak AS$20 juta untuk setiap produk diperuntukkan untuk melengkapi kilang pemasangan dengan alatan dengan teknologi terkini.

"Selain itu kami memberi tumpuan untuk memastikan khidmat selepas jualan yang lebih baik untuk kemudahan pemilik jenama Kia dan dalam masa sama membantu menyelesaikan beberapa isu yang terdapat sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 7:51 PM