LIMA program yang dipimpin MDEC kini diselaraskan dengan Prisma bagi memenuhi permintaan tenaga kerja digital yang semakin meningkat.
LIMA program yang dipimpin MDEC kini diselaraskan dengan Prisma bagi memenuhi permintaan tenaga kerja digital yang semakin meningkat.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengemas kini lima program utama yang akan memanfaatkan industri kandungan kreatif susulan pelancaran Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) oleh Kementerian Komunikasi Malaysia dan Multimedia.

Secara keseluruhan, pakej di bawah Prisma bernilai RM89.2 juta diperkenalkan untuk memastikan kelangsungan perniagaan serta kelestarian kira-kira 9,000 pemain industri berkenaan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, lima program yang dipimpin MDEC kini diselaraskan dengan Prisma dan diperbaharui untuk memastikan ia terus memenuhi permintaan tenaga kerja digital yang semakin meningkat.

"Sebenarnya program ini adalah inisiatif utama industri kreatif dan membolehkan sektor animasi dan permainan digital tempatan terus berkembang.

"Menurut laporan MIDA Insights, sektor permainan digital negara menyumbang pendapatan AS$100 juta (RM413.75 juta) pada 2018 dan akan mengalami pertumbuhan tahunan sebanyak 10.9 peratus sehingga 2023.

"Melalui sokongan kerajaan dengan pelancaran Prisma, sektor kreatif digital akan dapat terus beroperasi serta menangani cabaran akibat pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan.

Lima program terbabit adalah akses Pasaran Kandungan Kreatif Digital dan Pemadanan Perniagaan (2P); Pembangunan Perusahaan Kandungan Digital (EDP); Penstriman Kandungan Kreatif, Sokongan Infrastruktur Teknologi Kandungan Digital (Batik Digital) dan Pemberian Kandungan Digital Prisma (DCG Prisma).

Kelima-lima program ini dibuka untuk pendaftaran dan syarikat yang berminat boleh melayari https://mdec.my/prisma/.

Selain itu, dua program di bawah Prisma iaitu Batik Digital dan DCG Prisma pula menyediakan geran dan dana yang dapat mengembangkan bakat dan bantuan yang diberikan melalui EDP dan 2P.

Syarikat kreatif yang memerlukan sokongan kewangan dalam bentuk geran atau transformasi infrastruktur juga digalakkan memohon Prisma melalui MDEC.

Program ini menetapkan tiga tarikh tutup yang berasingan manakala permohonan akan mula dibuka antara 15 April depan hingga 25 Mei depan.

Kedua-dua geran masing-masing menawarkan jumlah sehingga RM40,000 dan RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:00 AM