STANLEY Choi
STANLEY Choi
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dr Stanley Choi Chiu Fai, Pengerusi Head & Shoulders Financial Group serta Pengerusi dan Pengarah Eksekutif International Entertainment Corporation (IEC), telah menyertai AirAsia Group Bhd sebagai pemegang saham penting.

Beliau menyertai kumpulan itu melalui entiti milik penuhnya, Positive Boom Ltd pada 18 Februari, 2021, menurut AirAsia dalam kenyataan pada Khamis.

Stanley Choi memperoleh 167.1 juta saham AirAsia melalui tahap pertama penempatan swasta, meningkatkan pegangan sahamnya dalam kumpulan itu kepada 332.5 juta saham bersamaan dengan 8.96 peratus.

"Saya gembira untuk menjadi salah seorang pemegang saham penting dalam AirAsia Group dan syarikat tambang rendah itu mempunyai masa depan yang amat cerah. Saya berharap dapat bekerjasama dengan semua orang di AirAsia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun berkata, kumpulan amat berbesar hati untuk menyambut Stanley Choi sebagai pemegang saham strategik AirAsia Group.

"Beliau mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dan reputasi yang kukuh sebagai seorang ahli perniagaan berjaya kepada kumpulan kami.

"Kami yakin beliau dapat menambah nilai dalam pengembangan perniagaan digital kami di China melalui pengalaman dan jaringan yang luas dengan pemain digital terkemuka di negara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 2:04 PM