UNIT Perancang Ekonomi menjangkakan ekonomi negara akan pulih sekitar 4.5 hingga lima peratus,
UNIT Perancang Ekonomi menjangkakan ekonomi negara akan pulih sekitar 4.5 hingga lima peratus,
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ekonomi negara dijangka menunjukkan perkembangan positif menjelang pertengahan tahun ini sejajar dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula pada Rabu ini.

Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, pakar ekonomi meramalkan Malaysia berupaya memulihkan ekonomi bermula suku ketiga tahun ini, bergantung kepada kelancaran pelaksanaan program vaksinasi berkenaan.

"Ini juga sejajar dengan ramalan yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi yang menjangkakan ekonomi negara akan pulih sekitar 4.5 hingga lima peratus," katanya menerusi program liputan khas ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 ke Malaysia di Bernama TV.

Madeline berkata, sektor perkhidmatan antara sektor yang perlu diutamakan dalam pemberian vaksin melalui pelaksanaan program vaksinasi yang dijadual bermula pada Rabu.

"Keutamaan perlu diberikan kepada penerima vaksin dalam kalangan sektor perkhidmatan dan perkilangan untuk meningkatkan kadar pengeluaran," katanya.

Madeline berharap dengan pelaksanaan program imunisasi di peringkat kebangsaan, sektor pelancongan dan eksport negara turut dapat digerakkan semula bagi membuka lebih peluang ekonomi kepada pemain industri.

"Sektor pelancongan dan eksport negara adalah sektor yang banyak terkesan disebabkan penutupan sempadan negara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ," katanya.

Dalam pada itu, Madeline berkata, kehadiran pelaburan syarikat farmaseutikal antarabangsa ke Malaysia dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin Covid-19 dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam negara.

Beliau berkata, potensi kerjasama penyelidikan dan penghasilan vaksin dalam negara akan membuka peluang kepada pengambilan pekerja dalam kalangan graduan berkemahiran tinggi.

"Kita harap kehadiran syarikat farmaseutikal dengan peluang pekerjaan akan memacu ekonomi negara dan memberi keyakinan terhadap pelabur asing dan tempatan bahawa ekonomi negara sedang berkembang serta kembali rancak dengan kitaran yang baik.

"Ini satu perkembangan baik dalam usaha menuju ke arah negara berteknologi tinggi sejajar dengan pelancaran Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 7:01 AM