INSKEN  melatih 78,872 usahawan melalui 390 program latihan pada tahun lalu.
INSKEN melatih 78,872 usahawan melalui 390 program latihan pada tahun lalu.

INSTITUT Keusahawanan Negara Berhad (Insken) menyasarkan untuk melatih 15,000 usahawan dari seluruh negara melalui 336 program latihan keusahawanan pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Firdaus Azharuddin berkata, lima industri baharu turut diperkenalkan untuk membantu usahawan mendigitalkan perniagaan mereka, sekali gus dapat meningkatkan skala perniagaan khususnya dari segi kenaikan jualan.

Katanya, lima industri baharu itu ialah penjagaan warga emas, sukan dan aktiviti lasak, pusat tuisyen, tadika dan khidmat pengasuh.

"Rentetan situasi sukar sejak tahun lalu, Insken yakin melalui penganjuran program keusahawanan berpaksikan keberhasilan akan dapat memastikan objektif ini tercapai pada tahun ini," katanya pada sesi taklimat media mengenai Inisiatif Kelangsungan Usahawan Perindustrian Kecil dan Sederhana Sepanjang Pandemik Covid-19 secara maya, semalam.

Pada tahun lalu, 15 industri terbabit dalam membimbing usahawan seperti spa, bengkel kereta, katering, jahitan dan inap desa.

Muhamad Firdaus berkata, Insken bakal menerima peruntukan hampir RM12 juta daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk latihan keusahawanan tahun ini.

Pada sesi taklimat itu, beliau berkata, Insken melatih 78,872 usahawan melalui 390 program latihan pada tahun lalu secara dalam talian dengan fokus utama untuk membantu usahawan kekal bertahan ketika pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 7:10 AM