PERKHIDMATAN penghantaran makanan dari airasia Food.
PERKHIDMATAN penghantaran makanan dari airasia Food.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Airasia Food berada di landasan kukuh menjadi syarikat penghantaran makanan unggul di seluruh Asean bermula dengan meluaskan perkhidmatannya di Malaysia.

Ketua Pegawai Eskekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, airasia Food akan memberi tumpuan mengembangkan perkhidmatannya ke bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bharu, Kuching dan Miri tahun ini.

Katanya, sejak dilancarkan pada Julai 2020, airasia Food sudah mempunyai lebih kurang 1,500 penghantar makanan (teleporter) dan yang menawarkan perkhidmatan bagi 1,200 restoran di seluruh Lembah Klang.

"Kami menawarkan insentif kompetitif untuk menjadi teleporter dan peluang pekerjaan ini terbuka kepada mereka mempunyai motosikal atau kereta.

"Anggaran pendapatan yang diterima teleporter adalah antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan dan ada antara mereka boleh mendapat sehingga RM150 sehari (dalam tempoh masa lapan jam).

"Kami juga mempelawa semua pengusaha restoran menyertai airasia Food dan terdapat peniaga kami berjaya meningkatkan jualan 500 kali ganda dalam masa tiga bulan menggunakan platform ini.

"Dengan airasia Food, kami menawarkan pelan harga tetap kepada pemilik perniagaan di mana mereka hanya dikenakan komisen 10 peratus sahaja dan ini paling rendah dalam pasaran," katanya dalam temu bual eksklusif secara maya.

Menurutnya, AirAsia kini bukan lagi sekadar syarikat penerbangan dan proses transformasi digital kumpulan melalui aplikasi super airasia.com kini lebih cepat susulan pandemik Covid-19.

Katanya, AirAsia mempunyai infrastruktur logistik dan teknologi yang mampu menawarkan perkhidmatan penghantaran dengan mudah, lancar dan dengan harga yang berpatutan.

"Justeru, kami memanfaatkan kemudahan sedia ada meneroka segmen penghantaran makanan, sekali gus membuka peluang pekerjaan dan membantu pengusaha makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 7:00 AM