TM miliki kapasiti dan kesambungan jaringan yang pelbagai di seluruh negara dan dunia.
TM miliki kapasiti dan kesambungan jaringan yang pelbagai di seluruh negara dan dunia.

TELEKOM Malaysia (TM) mencatatkan peningkatan penggunaan trafik internet keseluruhan sebanyak 15 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 mula dilaksanakan pada 13 Januari lalu berbanding ketika PKP pertama pada Mac tahun lalu.

Menurut TM, susulan penguatkuasaan PKP 2.0 kebanyakan rakyat Malaysia bergantung kepada kesambungan internet untuk komunikasi dalam talian supaya kekal terhubung dan produktif ketika bekerja dan belajar di rumah, sekali gus mendorong lonjakan penggunaan data yang tidak dapat dielakkan.

"Kami memiliki kapasiti dan kesambungan jaringan yang pelbagai di seluruh negara dan dunia untuk menyokong lonjakan permintaan yang besar dan segera terhadap jalur internet, hasil daripada usaha pengoptimuman jaringan berterusan kami.

"Perkongsian sedia ada kami dengan syarikat teknologi utama dunia dan jaringan sosial dalam mengendalikan kandungan internet di Malaysia juga memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik ketika mengakses aplikasi dan kandungan," katanya.

TM menjelaskan industri bergabung untuk menyokong inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan menawarkan pakej data mudah alih istimewa untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Pakej ini juga diperluas kepada penuntut institusi pengajian tinggi berusia di bawah 22 tahun menerusi pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

"Pakej istimewa ini menawarkan pas data LTE 15GB pada harga RM20 saja dan tersedia sehingga 30 April depan.

"Semua syarikat telekomunikasi juga memperluas data Internet 1GB tambahan percuma setiap hari, sah selama 24 jam sehari bagi tempoh sama," katanya.

Menurut TM, industri ini juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar percuma di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih untuk calon SPM dan STPM 2021.

"Sejumlah 130 PPR yang terbabit dalam projek ini di seluruh negara, antaranya, 59 akan diuruskan oleh TM," katanya.

Selain itu, TM kini menyediakan fleksibiliti lebih besar melalui penawaran pelan unifi Your World yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan kandungan televisyen, mudah alih dan internet pelanggan.

Melalui tawaran yang disesuaikan ini, pelanggan boleh memilih pilihan jalur lebar kediaman dan menggabungkannya dengan pelan data mudah alih 4G LTE tanpa had, pek hiburan dari unifi TV dan peranti seperti unifi Plus Box atau Mesh Wi-Fi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 7:00 AM