MALAYSIA Airlines dapat markah penuh daripada Airline Ratings dalam tinjauan bebas mengenai langkah kesihatan dan keselamatan Covid-19.
MALAYSIA Airlines dapat markah penuh daripada Airline Ratings dalam tinjauan bebas mengenai langkah kesihatan dan keselamatan Covid-19.

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd mendapat tujuh bintang atau markah penuh daripada Airline Ratings dalam tinjauan bebas mengenai langkah kesihatan dan keselamatan Covid-19.

Penilaian itu berdasarkan tujuh kriteria meliputi panduan Covid-19 dalam laman web syarikat penerbangan, penjarakan sosial ketika menaiki pesawat, peralatan perlindungan diri (PPE) kru kabin, pemakaian pelitup muka yang wajib di dalam pesawat, pengubahsuaian kepada perkhidmatan makanan, kit kebersihan penumpang dan pembersihan menyeluruh pesawat.

Menurut tinjauan itu, syarikat penerbangan nasional dianggap cemerlang dalam semua kategori, sehingga dianugerahkan tujuh bintang.

Airline Ratings adalah laman web tinjauan keselamatan syarikat penerbangan dan penilaian produk di seluruh dunia.

Sistem penilaiannya daripada satu hingga tujuh bintang, mengambil kira beberapa faktor yang berbeza berkaitan dengan audit daripada badan penerbangan, persatuan utama dan data keselamatan syarikat penerbangan itu sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail dalam kenyataan berkata, Covid-19 memberikan cabaran yang tidak pernah dihadapi oleh industri penerbangan sebelum ini dan Malaysia Airlines perlu menyesuaikan perkhidmatan dan protokolnya dengan segera untuk memastikan penumpang dan kakitangan selamat dan selesa.

"Pada Julai 2020, kami memperkenalkan kempen Fly Confidently untuk mendidik penumpang mengenai langkah-langkah yang dipertingkatkan dilaksanakan di semua pintu di lapangan terbang dan juga di dalam pesawat.

"Kami amat berbangga apabila pelbagai langkah yang kami laksanakan, daripada daftar masuk hingga ketibaan, diiktiraf oleh Airline Ratings dan berharap penilaian tujuh bintang ini memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa setiap penerbangan dengan Malaysia Airlines adalah selamat dan menyeronokkan untuk semua di dalam pesawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 6:15 AM