DATUK Zulkarnain Md Eusope (duduk depan) menandatangani perjanjian pembekalan vaksin COVID-19 secara pukal dengan Sinovac Life Sciences Co Ltd secara maya di Hotel Royale Chulan di Kuala Kumpur hari ini.
DATUK Zulkarnain Md Eusope (duduk depan) menandatangani perjanjian pembekalan vaksin COVID-19 secara pukal dengan Sinovac Life Sciences Co Ltd secara maya di Hotel Royale Chulan di Kuala Kumpur hari ini.
Hazwan Faisal Mohamad


PHARMANIAGA Bhd akan memulakan proses pembotolan vaksin Covid-19 pada akhir bulan depan dan mengedarkannya kepada orang ramai pada akhir Mac.

Syarikat farmaseutikal itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), akan melabur kira-kira RM3 juta bagi menaiktaraf kilang suntikan volum kecil (SVI) bagi membolehkannya menjalankan proses pembotolan atau 'fill and finish' vaksin Covid-19.

Pharmaniaga menandatangani perjanjian dengan Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), syarikat dari China yang membangunkan vaksin Covid-19, untuk pembekalan 14 juta dos vaksin Covid-19 secara pukal bagi menjalankan proses pembotolan di Malaysia.

Projek pembotolan itu akan dilaksanakan oleh PLS di kilang SVI berteknologi tinggi yang diubah suai.

Bagi mencapai tujuan berkenaan, Pharmaniaga bekerjasama dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), untuk memastikan kilang terbabit akan sentiasa mematuhi syarat kawal selia yang ditetapkan.

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, PLS yang mempunyai pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan mendapat pengiktirafan Kesatuan Eropah (EU) dikenalpasti oleh kerajaan sebagai kilang yang mempunyai keupayaan untuk melaksana dan mematuhi proses pembuatan vaksin sangat ketat selain memenuhi garis panduan serta standard antarabangsa.

Katanya, Pharmaniaga amat yakin akan dapat melaksanakan tugas itu dengan baik kerana pakar teknikalnya telah berusaha untuk membangunkan kilang vaksin halal yang pertama di dunia sejak 2017.

"Ketika Covid-19 tersebar ke seluruh dunia pada awal tahun lalu, kami segera menyusun atur semula pasukan untuk bekerja dengan rakan-rakan kongsi global kami, termasuk Sinovac dalam aktiviti pembuatan 'fill and finish' serta pemindahan teknologi bagi mempercepatkan lagi proses penyediaan vaksin membasmi wabak ini.

"Kilang ini dijangka mampu membotolkan kira-kira dua juta dos vaksin sebulan sebaik dapat beroperasi sepenuhnya akhir bulan depan selepas kerja naik taraf kilang PLS selesai," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian dengan Sinovac di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian yang dilangsungkan secara maya itu turut disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 2:15 PM