PERUNDING antarabangsa meramalkan Malaysia antara tiga negara yang mempunyai ruang paling banyak untuk mengawal Covid-19 tahun ini.
PERUNDING antarabangsa meramalkan Malaysia antara tiga negara yang mempunyai ruang paling banyak untuk mengawal Covid-19 tahun ini.

POTENSI pemulihan ekonomi yang pesat serta kedudukan fiskal dan kewangan negara yang stabil meletakkan Malaysia sebagai negara kelima destinasi tumpuan pelaburan dan perniagaan utama pada 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kedudukan itu mengatasi ekonomi membangun lain seperti China, Filipina, India dan Indonesia.

Berdasarkan Indeks lockdown berkesan, perunding antarabangsa meramalkan Malaysia antara tiga negara yang mempunyai ruang paling banyak untuk mengawal dan meredakan pandemik Covid-19 pada tahun 2021.

"Ini bermakna sebaik saja ini berjaya dilakukan, ekonomi kita dijangka melonjak semula dengan lebih pesat lagi," katanya dalam Laporan Laksana Ke-35 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, laporan firma perunding antarabangsa yang lain juga baru-baru ini turut menyatakan Kuala Lumpur kekal menarik kepada komuniti perniagaan antarabangsa.

Katanya, ia berdasarkan faktor seperti kemudahan infrastruktur yang bersepadu, kepelbagaian dan mutu sumber manusia serta kesediaan Malaysia dalam mengadaptasi teknologi digital.

Malah, pelbagai insentif cukai dan pelaburan melalui Penjana dipanjangkan melalui Belanjawan 2021.

"Ini termasuk kadar cukai istimewa kepada syarikat pengilang terpilih yang memindahkan lokasi perniagaan ke Malaysia dan membuat pelaburan baharu (insentif dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022).

"Galakan cukai kepada syarikat dalam sektor perkhidmatan terpilih memberi kesan pengganda, dengan kadar cukai pendapatan 0 hingga 10 peratus bagi tempoh 10 tahun," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, dalam kerajaan merangka perjalanan ekonomi negara pasca-Covid-19 ini, semestinya sebarang keputusan perlu mengimbangi antara pengurusan sumber sedia ada serta impak positif atau pengganda bagi jangka masa pendek dan panjang.

Beliau berkata, pendekatan ini akan terus diamalkan oleh Kementerian Kewangan di dalam penggubalan setiap dasar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 6:45 AM