SEORANG pencarum berurusan di Ibu Pejabat KWSP, Jalan Raja Laut di ibu kota.
SEORANG pencarum berurusan di Ibu Pejabat KWSP, Jalan Raja Laut di ibu kota.

KEMUDAHAN pengeluaran i-Sinar di bawah Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuka pada 21 Disember lalu kepada mereka yang layak berjalan lancar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat ini, semua permohonan, sama ada secara digital atau fizikal, berjalan tanpa sebarang masalah.

"Bagi mereka yang layak dan maklumat tersedia di dalam pangkalan data KWSP, sistem akan memberi kelulusan secara automatik dan keputusan pertama akan diketahui pada 4 Januari 2021.

"Bersabarlah sementara KWSP memproses permohonan yang diterima. InsyaAllah, bayaran pertama akan dibuat pada 11 Januari 2021," katanya dalam laporan Laksana ke-34 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), semalam.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berharap inisiatif bantuan ini dapat mengurangkan beban aliran tunai rakyat seperti perbelanjaan permulaan persekolahan dan isi rumah.

Katanya, selain skim khas KWSP itu, terdapat juga inisiatif penyaluran Geran Khas Prihatin 2.0 (GKP 2.0) bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang lulus, dan pelbagai program seperti subsidi upah, geran, pembiayaan, pinjaman mudah dan pelepasan cukai.

Selain itu, agensi Laksana juga katanya, akan memantau satu matlamat terpenting dalam Belanjawan 2021, iaitu menjana 500,000 pekerjaan di bawah insiatif JanaKerja.

"Saya ingin menyatakan kerajaan amat prihatin terhadap mereka yang kehilangan pekerjaan akibat Covid-19. Mulai awal tahun hadapan, Perkeso dengan sokongan kementerian dan agensi berkaitan akan mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan pekerjaan di bawah Active Labour Market Programme.

"Ini bagi meningkatkan peluang pekerjaan bagi semua pencari kerja, paragraduan dan lepasan sekolah. Antara aktiviti yang akan dilaksanakan temu duga mingguan di semua pejabat Perkeso, karnival pekerjaan secara maya dan fizikal, serta bantuan penyediaan resume, kaunseling kerjaya dan program peningkatan kebolehpekerjaan," katanya.

Program itu akan membuka tirainya dengan karnival pekerjaan maya dari Kolej Komuniti Tinggi Mara di Ledang, Johor pada 17 Januari 2021 dan Kolej Politeknik Mara Kuala Lumpur pada 28 Januari 2021.

Karnival PenjanaKerjaya 2.0 pula akan dilaksanakan secara fizikal di Universiti Malaysia Pahang pada 23 Januari ini.

"Rakyat yang sedang mencari pekerjaan digalakkan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ini.

"Seperti yang saya katakan tadi, kombinasi pemantauan Laksana, maklum balas rakyat, serta penggunaan data akan membolehkan kita untuk melaksanakan penambahbaikan bagi inisiatif sebegini untuk kemudahan anda semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 6:30 AM