SHAROL di ladang strawberi  diusahakan yang turut menempatkan chalet dan kafenya.
SHAROL di ladang strawberi diusahakan yang turut menempatkan chalet dan kafenya.
JAMILAH kini memperluaskan pasaran produk hasil lautnya melalui  platform Shopee.
JAMILAH kini memperluaskan pasaran produk hasil lautnya melalui platform Shopee.

Pelbagai strategi berasaskan platform digital dirangka Majlis Amanah Rakyat (MARA) khusus bagi membantu usahawan Bumiputera menghadapi ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Antaranya termasuk membawa usahawan menyertai aktiviti e-dagang dengan satu daripada inisiatif terbaru dilaksanakan MARA adalah jalinan kerjasama dengan Shopee iaitu platform jual beli pilihan pengguna yang dilihat terbaik untuk diterokai.

Dikenali sebagai Jana NIAGA MARA Shopee, program itu sebahagian usaha MARA menggalakkan pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan dan memperkasa kumpulan itu dengan penggunaan teknologi dan inovasi dalam operasi syarikat, sekali gus memperluas jaringan pasaran produk mereka meliputi dalam dan luar negara.

Menerusi program ini, usahawan dilengkapkan dengan beberapa siri latihan persediaan sebelum memulakan perniagaan di e-mall Jana NIAGA yang akan mempersiapkan mereka dengan kemahiran pengurusan e-kedai dan menguruskan sendiri perniagaan atas talian yang dimiliki.

Melalui Program Galakan Jualan, MARA membantu menyediakan baucar kedai (diskaun) kepada usahawan yang diberi kepada pembeli bagi menggalakkan jualan, malah usahawan menerima Kredit Iklan daripada MARA bagi tujuan promosi produk dan e-kedai di platform terbabit.

Kemudahan ini dinikmati Jamilah Baharudin yang mengusahakan perniagaan hasil laut di Lumut, Perak dan hanya memulakan proses digitalisasi dalam perniagaan selepas pandemik Covid-19 melanda.

"Sejak 1991 lagi ketika memulakan perniagaan ini, ia memang diusahakan sepenuhnya secara offline di kedai. Kalau ada pun, sekadar menguar-uarkan produk jualan kami melalui WhatsApp dan Facebook.

"Tahun lalu, MARA mula bantu proses digitalisasi ini yang memudahkan proses adaptasi kami apabila Covid-19 muncul, malah kini jualan lebih baik berbanding sebelum pandemik," katanya.

MARA menyasarkan lebih 500 usahawan menyertai program itu tahun depan (2021) dengan jangkaan produk mereka berjaya dipasarkan ke luar negara khususnya Singapura.

Selain bidang peruncitan, inisiatif proses digitalisasi usahawan Bumiputera di bawah MARA memberi tumpuan kepada usahawan dalam sektor pelancongan.

Di bawah Program Pembangunan Usahawan Resort (PURE), 240 usahawan terdiri daripada pengusaha resort, chalet dan rumah inap menyertai program itu melalui dua modul latihan keusahawanan iaitu Pengurusan Perhotelan Dalam Perniagaan dan Pemerkasaan Pemasaran Perhotelan Melalui Transfomasi Digital.

Modul Pengurusan Perhotelan Dalam Perniagaan misalnya, menumpukan kepada membantu pengusaha memperkemas operasi perniagaan perhotelan mereka.

Manakala Pemerkasaan Pemasaran Perhotelan Melalui Transformasi Digital pula adalah nilai tambah yang memfokuskan pembangunan visual, pembangunan copywriting, Digital Smart Tourism E-Commerce System Training, Integrasi Tourism Marketplace dan permintaan revolusi pemasaran digital.

Sejak awal tahun ini, MARA melalui platform digital malaysiapass.com giat mempromosikan resort, chalet dan hotel yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai pelopor industri.

Selama enam bulan menjalani latihan dan penggunaan platform malaysiapass.com, 10 resort, chalet dan hotel yang dibangunkan menunjukkan peningkatan prestasi dengan purata nilai jualan RM200,000 sebulan.

Perkara ini dikongsi Pengurus Sh Agro Highlands Sdn Bhd Sharol Hafizi Jamaludin yang mengusahakan chalet di dalam ladang strawberi, kafe dan pusat jualan barangan keluaran Cameron Highlands di Brinchang, Pahang.

Menyertai PURE pada tahun lalu, Sharol berkata, laman web serta sistem tempahan berjaya dibangunkan dan mula digunakan pada pertengahan tahun ini yang berhasil melonjakkan pulangannya.

"Alhamdulillah, hasil penyertaan dalam program ini, banyak yang dipelajari dengan peningkatan jualan direkodkan terutama membabitkan pusat jualan Sky Farm CH kami yang menyediakan lebih 500 SKU (stock keeping unit) produk.

"Sepanjang pandemik ini, MARA tidak putus-putus bertanyakan sebarang bantuan diperlukan bagi memastikan perniagaan termasuk chalet dan kafe Agro Highlands milik kami terus bertahan," katanya.

Usaha MARA ini disokong menerusi suntikan pembiayaan buat usahawan yang mengusahakan perniagaan dalam talian di mana tahun ini (2020), lebih 1,000 usahawan dibantu membabitkan peruntukan RM21.44 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 10:16 AM