Pejabat Ecoworld di EcoWorld Sanctuari, Telok Panglima Garang. FOTO AZIAH AZMEE
Pejabat Ecoworld di EcoWorld Sanctuari, Telok Panglima Garang. FOTO AZIAH AZMEE
Bisnes HM

Kuala Lumpur: EcoWorld Malaysia melepasi sasaran jualan RM2 bilion untuk tahun kewangan 2020 (FY2020) dengan capaian lebih 15 peratus serta menjangka jualan sepanjang tahun mampu mencapai jumlah RM2.3 bilion.

Jualan pada suku keempat 2020 dicatatkan melebihi RM1 bilion, lebih tinggi daripada RM960 juta dicatatkan pada suku ketiga 2020.

Secara kolektif, penjualan untuk enam bulan kedua 2020 merangkumi 85 peratus daripada jumlah penjualan pada tahun kewangan 2020.

Perolehan pada suku keempat 2020 adalah yang tertinggi dicatatkan pada empat suku tahun 2020, menandakan pemulihan kedua-dua jualan dan pembinaan berikutan penurunan secara beransur-ansur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai suku ketiga 2020 dan seterusnya.

Keuntungan kasar dicatatkan lebih rendah berbanding tahun kewangan 2019 terutamanya disebabkan oleh penutupan galeri jualan ketika PKP selain pemberhentian sementara aktiviti pembinaan pada pertengahan Mac.

Pengerusi EcoWorld Malaysia, Tan Sri Liew Kee Sin berkata, ia adalah satu pencapaian membanggakan untuk Kumpulan merekodkan jualan sebagaimana disasarkan khususnya dalam tempoh mencabar akibat Covid-19.

"Jika digabungkan, jenama EcoWorld berjaya merekodkan jualan total mencecah RM3.8 bilion di Malaysia, United Kingdom dan Australia.

"Ia adalah paras yang sama direodkan pada tahun kewangan 2019 walaupun tahun ini lebih banyak cabaran perlu ditempuh khususnya di pasaran global," katanya.

Menurutnya, untuk tahun 2021, EcoWorld Malaysia dan EcoWorld International meletakkan sasaran jualan terkumpul sebanyak RM5 bilion.

"Berdasarkan perancangan strategik yang ditetapkan mengikut lokasi dan penyusunan semula fokus kepada beberapa segmen pasaran, kami yakin dapat mencapai sasaran ditetapkan.walaupun ia adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding jualan direkodkan tahun ini," katanya.

Projek utama yang menyumbang kepada hasil dan keuntungan kasar pada suku keempat 2020 terdiri daripada Eco Majestic, Eco Forest, Eco Sky dan Eco Sanctuary di Lembah Klang, Eco Spring, Eco Summer serta Eco Tropics di Iskandar Malaysia termasuk Eco Meadows di Pulau Pinang.

"Pengurusan yakin bahawa pelan strategik yang telah dilaksanakan untuk memberi tumpuan kepada kumpulan M40 yang lebih besar termasuk golongan pelanggan Gen-Y dan Gen-Z serta secara aktif mempromosikan taman perniagaan kepada industri tempatan dan luar negara, akan menyumbang ke arah pencapaian sasaran yang ditetapkan.

"Di samping itu, langkah proaktif yang diambil pada tahun kewangan 2020 bagi mengurangkan dan menetapkan semula struktur kos kumpulan, serta mendigitalkan setiap aspek operasi EcoWorld Malaysia untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan, akan membantu mengatasi kesan pasaran hartanah yang lemah, disamping melindungi aliran tunai dan keuntungan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 9:07 AM