Antara paparan yang disimpan dalam Muzium AirAsia.
Antara paparan yang disimpan dalam Muzium AirAsia.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: AIRASIA melancarkan Muzium AirAsia, arkib dalam talian yang mengumpulkan gambar, dokumen dan penerbitan yang berkaitan dengan sejarah kumpulan sejak 2001 hingga 2020, sempena ulang tahun ke-19 tahun ini.

Muzium maya ini membawa pengunjung melalui peristiwa penting dalam perjalanan digital Airasia yang bermula sejak awal 2002, apabila ia menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia yang memperkenalkan tempahan dalam talian secara langsung melalui laman web.

Dalam masa sama, AirAsia menaik taraf langkah keselamatan untuk norma baharu perjalanan udara dengan melancarkan pelbagai inovasi tanpa sentuhan seperti pengecaman wajah biometrik (FACES) dan penyerahan dokumen perjalanan serta kesihatan, Scan2Fly dalam talian menjadikan penerbangan bukan saja selamat dan berpatutan, malah lebih bersih dan lancar.

Pada September, ia melancarkan Asia Digital Engineering, anak syarikat untuk menyediakan perkhidmatan kejuruteraan kepada kumpulan syarikat penerbangan AirAsia serta syarikat penerbangan lain di rantau ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Kamarudin Meranun berkata, permulaan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah meragukan ramai pihak, tambahan pula pasaran pada masa itu dikuasai oleh syarikat penerbangan legasi yang menjadikan perjalanan lebih mencabar.

"Hampir dua dekad berlalu dan kami bukan saja membuktikan bahawa mereka salah, malah kami kini menghubungkan lebih 160 destinasi di seluruh Asia Pasifik dan merapatkan jurang di Asean.

"Dengan operasi syarikat penerbangan di empat negara Asean dengan ekonomi terbesar dan merancang untuk menambah operasi pada masa hadapan, tiada syarikat penerbangan lain yang boleh mengungguli Asean daripada kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, keraguan segelintir pihak terhadap AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah 19 tahun lalu, masih bersisa apabila pihaknya mengumumkan transformasi digital.

"Namun, apa yang membezakan kami adalah nilai, pelanggan dan teknologi yang dimiliki, serta usaha berterusan kami untuk menjadikannya realiti.

"Perjalanan kami masih jauh dan kami mempunyai kepakaran dan idea yang hebat untuk membantu perjalanan kami dan kami yakin akan kembali lebih kuat dan kukuh selepas Covid-19.

"Walaupun terdapat pelbagai cabaran seperti Covid-19, ini bukan pengakhiran tetapi permulaan baharu.

"AirAsia akan terus menjadi lebih kuat dan kami akan terus berkembang menjadi yang terbaik di dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 9:05 PM