TANGKAP layar daripada FB Muhyiddin ketika pelancaran portal MalaysiaBiz secara maya, hari ini.
TANGKAP layar daripada FB Muhyiddin ketika pelancaran portal MalaysiaBiz secara maya, hari ini.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat (MalaysiaBiz) akan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi permohonan pendaftaran perniagaan usahawan setempat secara dalam talian dalam tempoh pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedar kepentingan platform digital dalam perniagaan dan sumbangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada ekonomi negara.

Katanya, untuk itu portal berkenaan dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SME Corp Malaysia, yang menjadi pemudah cara dalam urusan perniagaan setempat.

"Portal ini berfungsi sebagai "one stop center" dengan menyediakan sebuah portal setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen atas talian secara efisien.

"MalaysiaBiz bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat.

"Saya yakin objektif portal ini akan dapat tercapai dan sekali gus mendokong agenda kerajaan digital. Insya Allah," katanya ketika melancarkan portal MalaysiaBiz secara dalam talian, hari ini.

Ucapan perasmian Muhyiddin disiarkan secara maya melalui Facebook.

Muhyiddin berkata, kerajaan mengambil pendekatan secara inklusif dan menyeluruh dalam usaha menjamin kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat, dalam mendepani kesan ekonomi pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara.

Menurutnya, antara pendekatan diambil termasuk usaha memperkasa agenda pendigitalan yang juga antara teras dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Katanya, proses digitalisasi akan terus dipergiatkan dengan penumpuan terhadap pembangunan ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara pasca Covid-19.

"Kerajaan mensasarkan sebanyak 40 peratus pendigitalan penyampaian perkhidmatan End-to-end, iaitu E2E sepenuhnya menjelang akhir tahun ini berbanding 20.2 peratus tahun lalu.

"Sasaran ini juga diperkasakan dengan penubuhan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang saya sendiri pengerusikan bagi memastikan pembangunan ekonomi digital yang mampan untuk manfaat semua seiring dengan potensi teknologi 4IR di negara kita," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, beliau menyedari PKS menyumbang kepada ekonomi negara dan penyediaan peluang pekerjaan dengan tahun lalu menyumbang 38.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 38.3 peratus pada 2018, manakala 45 peratus daripada KDNK disasarkan menjelang 2025 dan 50 peratus pada 2030.

"Oleh sebab itu, langkah-langkah untuk menjana pertumbuhan PKS akan terus diberi keutamaan melihat kepada trend pembelian dalam talian pada hari ini yang menunjukkan potensi PKS untuk berkembang secara pesat. Dengan itu, proses pendigitalan dalam kalangan peniaga dapat dipermudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 1:05 PM